Kalahkan jualan Tesla, EV comel ini pilihan nombor satu pengguna muda China

4708

China merupakan pasaran kedua terbesar Tesla selepas Amerika Syarikat. Namun, kehadiran kereta elektrik (EV) bajet milik Wuling telah mengatasi  jualan Tesla di China.

Hong Guang Mini EV dibangunkan dengan kerjasama syarikat General Motors iaitu pengeluar Ford. Bentuknya yang kecil berkotak dengan panjang kurang daripada 10 kaki menjadi popular dalam kalangan milenial China.

HARGA MURAH?

Mengapakah golongan muda China begitu menyukai EV tersebut?. Ini kerana Hong Guang Mini EV cukup murah yang mana harganya sama nilai dengan pembelian tiga buah i-phone. 



Dalam satu video yang dimuatnaik oleh akaun Facebook Goldthread melaporkan golongan belia yang tinggal sekitar bandar Zhengzhou, tengah China sangat sukakan kereta elektrik berkenaan.

Selain daripada harga yang murah model itu juga mudah dimodifikasi kerana saiz yang comel. Bahkan hasil ubah suai pemilik turut meningkatkan lagi populariti kereta berkenaan.

Ada yang mengubahnya menjadi kereta kebal atau convertible manakala yang lain menghiasi badan kereta dengan pelekat Hello Kitty dan Pokemon. 

Badan yang comel dan tambahan aksesori unik mencuri perhatian ramai orang sehinggakan carian topik berkaitan modifikasi Hong Guang Mini EV di aplikasi gaya hidup popular China, Xiaohongshu mencapai 45 juta tontonan.

TARIK PERHATIAN

Salah seorang pemilik Hong Guang Mini EV, Zhou Xue menyatakan dimensi badan yang kompak menarik perhatian pengguna jalan raya lain.

“Aku akan gemuruh bila berhenti di lampu isyarat kerana pemandu sebelah akan turunkan cermin dan mulalah bertanya pelbagai soalan,” katanya.  

Dia mengubahsuai penampilan kereta dengan tema warna merah jambu di luar dan kabin. Bahkan Xue memilih imej buah-buahan dan dedaunan menghiasi badan keretanya.

“Sebelum ini aku beli banyak gila barangan modifikasi boleh kata tiap hari ada saja barang sampai. 

“Aku akan mencangkung di tepi jalan untuk menghiasi kereta kadang kala ambil masa empat sampai lima jam untuk siap pasang pelekat,” jelasnya.

Tambahnya banyak kali juga dia menemui kesan cap jari pada bahagian cermin kerana orang ramai ingin melihat bahagian dalam kereta. 

REPLIKA TOYOTA AE86

Sementara, pasangan Haiyang dan Huijie pula beranggapan EV kompak itu memenuhi keperluan pengguna muda. 

“Jika anda beli kereta baharu perlukan RM60,000 hingga RM125,000 yang merupakan beban besar buat golongan muda padahal anda boleh memiliki kereta ini pada harga AS 5000 (RM20,755),” katanya.

Pasangan berkenaan memilih penampilan replika Toyota AE86 kerana begitu meminati Jay Chou dan filem Initial-D. Bahkan pada bahagian sisi tertera logo Fujiwara Takumi.

Selain itu, peningkatan jualan model tersebut turut memberi peluang perniagaan kepada bengkel kustom.

Sejak pelancaran tahun lalu, Pengarah Sexeke Custom Auto Shop, Wei Tian Long menjelaskan sudah melakukan kustom hampir 300 buah Wuling Hong Guang Mini EV.

“Saya pernah ada klien BMW Mini yang datang menunjukkan gambar Hong Guang dan mahukan warna kereta sebiji macam model itu.

“Kalau kereta besar perlukan sebulan untuk pengubahsuaian, Mini EV empat hari sudah siap,” ujarnya.

Wuling Hong Guang Mini EV standard dijual pada harga AS 4,500 (RM18,679) bagaimanapun jika anda memilih tambahan pendingin hawa perlu membayar AS 5,000 (RM20,755).

EV berkenaan memiliki kelajuan maksimum 100kmj dan boleh memuatkan empat penumpang. 

VIDEO

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here