Pengedar tunggal Kenderaan Komersial Ringan (LCV) Foton dan Foton Auman di Malaysia, Angka-Tan Motor Sdn Bhd, memperkenalkan trak tugas ringan Foton Aumark S City Flyer 4-Roda BJ1065 serba baharu bagi memenuhi permintaan kegunaan logistik dalam negara.
Siri Foton Aumark S City Flyer 4-Roda BJ1065 ditawarkan dalam dua versi – VDJD4 dan VDJD6, dengan jarak roda 2,800mm dan 3,360mm untuk setiap varian.
Aumark S City Flyer dikuasakan enjin pengecas turbo Euro3 generasi baharu, Cummins ISF 2.8 liter dengan transmisi manual 5-kelajuan ZF yang mampu menghasilkan 129hp (96kW) pada 3,200rpm, dan tork 310Nm pada 1,600 hingga 2,700 rpm.
City Flyer memiliki berat kasar (GVW) 5.6 tan, ciri terbaik dalam kategori 4-roda, dan paling terbaik untuk perjalanan dalam dan antara bandar yang membolehkan pelanggan membawa lebih banyak muatan setiap trip.
Kabin direka semula dan ditambah baik supaya pemandu dan rakan pemandu lebih selesa, serta mengurangkan keletihan ketika memandu lama.
Antaranya, kerusi dipertingkat dengan hayat busa lebih tahan lama dan fabrik jenis kalis haus. Ia juga didatangkan dengan platform pemegang cawan dan kabinet fail atas.
Dari segi keselamatan, Aumark S City Flyer dibina dengan reka bentuk casis dikemas kini dan patuh standard keselamatan Eropah serta diuji mengikut regulasi keselamatan ketat Suruhanjaya Ekonomi Eropah (ECE) R29.
Ia dilengkapkan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) untuk menghalang situasi roda terkunci ketika membrek secara keras, dan juga Agihan Brek Elektronik (EBD), serta Bantuan Brek (BA) untuk membantu prestasi membrek yang lebih kuat dan selamat dalam kecemasan.
Semua kenderaan komersial Foton di Malaysia didatangkan dengan Foton Total Care, dan disokong rangkaian servis Tan Chong Group.
Dengan keberadaan pusat servis Tan Chong Group di seluruh negara, pelanggan kini memiliki kemudahan servis kenderaan di seluruh Malaysia, termasuk alat ganti tulen Foton untuk memastikan keselamatan kenderaan dan jangka hayat servis yang berpanjangan.
Pemilik juga boleh memilih TC Trust, iaitu perjanjian servis yang disesuaikan mengikut perniagaan. Ia direka untuk mengoptimumkan keseluruhan kos pemilikan trak Foton dan menyediakan pengurusan penyenggaraan flit yang mudah tanpa perlu memeningkan kepala.
Sebagai tambahan, pembangunan dan latihan pemandu juga disediakan untuk meningkatkan kemahiran memandu supaya dapat memandu dengan cara lebih jimat, sekali gus meningkatkan masa operasi dan merendah kos operasi.
Jika berlaku kes kecemasan, perkhidmatan 24-jam Res-Q dan One-Stop Repair serta Servis Insurans disediakan untuk memberikan masa operasi yang optimum kepada pelanggan sepanjang masa.
Aumark S City Flyer 4-Roda BJ1065VDJD4 (2800mm) dijual bermula RM93,900, manakala BJ1065VDJD6 (3360mm) dijual pada RM95,900 untuk Semenanjung Malaysia.
Bagi Malaysia Timur, harga BJ1065VDJD4 (2800mm) ialah RM100,900, manakala BJ1065VDJD6 (3360mm) berharga RM102,900.
Setiap City Flyer dilindungi waranti lima tahun atau 200,000km. Maklumat lanjut, sila kunjungi bilik pameran Foton atau hubungi 03-56386888.