Seorang wanita nekad menempuh perjalanan ratusan kilometer dengan menunggang motosikal dari Changkat Jering untuk menjual sayur kampung segar di Kuala Lumpur.
Siti Norol Salwani Ismail, 29, yang pernah bekerja sebagai penghantar makanan akan menunggang motosikal setiap Sabtu ke Bandar Sri Permaisuri, Cheras untuk menjual petai, pucuk paku, pucuk ubi, bayam brazil, nangka muda, durian belanda, jering dan ulam-ulaman.
Menurutnya, perancangan awal menjual sayur dan ulam-ulaman bermula pada Julai tahun lalu kerana merasakan ia akan mendapat permintaan tinggi.
“Idea menjual ini secara spontan apabila terbeli pucuk paku yang sudah tua, ulam-ulam tidak segar selain harga yang mahal.
“Saya teruskan perancangan berpindah ke Bukit Gantang dan berulang-alik setiap Sabtu untuk menjual sayur. Sayur-sayur ini dikutip sendiri dan beli daripada penduduk,” katanya.
Siti Norol Salwani berkata, jualan sayur-sayur kampung sangat laris dan dia memperoleh keuntungan sekitar RM300 sehari.
“Tidak kekok sebenarnya menunggang motosikal kerana hampir 10 tahun tinggal di Kuala Lumpur. Empat bulan berulang-alik dari Changkat Jering ke Kuala Lumpur.
“Sepanjang berniaga, ada yang menasihatkan untuk jual di kampung sahaja, tak berbaloi kerana jarak jauh dan sebagainya tetapi saya ‘enjoy’ berniaga sambil menyara kehidupan bersama anak,” katanya.
Bagaimanapun, usaha wanita muda berasal dari Bachok, Kelantan itu untuk terus mencari rezeki di ibu kota terhenti pada November tahun lalu apabila Honda Dash yang dibelinya sejak 2018 sering rosak.
Sekarang saya berniaga nasi kerabu dan laksam, kadang kala ada juga menerima tempahan. Usaha mengumpul deposit motosikal dilakukan sedikit demi sedikit bagi menggantikan motosikal lama.
“Saya mahu beli Yamaha LC secara ansuran. Dapat motosikal baru ini mungkin saya akan teruskan berniaga ulam-ulam di Kuala Lumpur seperti biasa,” katanya.