Mazda akhirnya tawarkan EV jarak jauh di Eropah, Mazda6e dengan jarak lebih 550 km

9

Mazda dikenali sebagai pengeluar yang cenderung untuk memilih jalan sendiri.

Contoh boleh dilihat pada model kenderaan elektrik (EV) MX-30 dengan jarak pemanduan hanya 200 kilometer (km).

Honda

Satu daripada alasan adalah bateri kecil tidak memerlukan sumber alam sebanyak bateri kapasiti besar.

Mazda kemudiannya menghidupkan semula enjin rotari setelah lama direhatkan dan digunakan pada MX-30 e-SKYACTIC R-EV.

Kali ini bukan untuk menggerakkan enjin tetapi sebagai penjana atau penambah jarak (range extender) bagi membekalkan kuasa elektrik kepada bateri.

Walaupun hanya mempunyai sebuah EV, Mazda menawarkan sejumlah model bernadikan rangkaian kuasa hibrid termasuk yang digabungkan bersama enjin diesel. 

Di sebalik pendirian tersebut, Mazda tetap bersikap realistik melalui sedan elektrik EZ-6 yang diperkenal di Beijing, China pada April 2024.

Model ini hasil kerjasama dengan Changan dan tidak seperti MX-30 mempunyai bateri lebih besar dan boleh dipandu jauh. 

Satu lagi yang menarik, EZ-6 turut ditawarkan dalam versi hibrid plug-in jenis penambah jarak.

Selepas China, EZ-6 dibawa ke Eropah menggunakan nama Mazda6e.

Model ini menggantikan Mazda6 yang mencipta nama merentasi tiga generasi dari 2002 sehingga 2023 dan diterima baik di sana.

Mazda6e ditawarkan dalam dua jenis kapasiti bateri iaitu 68.8 kilowatt-jam (kWj) dan 80 kWj.

Model 68.8 kWj boleh dipandu sehingga 483 km dan pengecasan pantas DC 200 kW hanya memerlukan 22 minit untuk menambah kuasa dari 10 sehingga 80 peratus.

Motor elektrik menghasilkan 258 ps dan pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) mengambil masa 7.6 saat.

Pelanggan yang mahukan jarak lebih jauh atau sehingga 556 km ditawarkan bateri 80 kWj dengan motor elektrik 244 ps. Pengecasan DC mengambil masa 45 minit.

Pecutan sehingga 100 km/j memerlukan 7.8 saat. Kedua-dua model memiliki daya kilas 320Nm dan menggunakan pacuan roda belakang.

Walaupun dihasilkan dengan kerjasama Changan, Mazda6e kekal membawakan falsafah reka bentuk Kodo Soul of Motion yang anggun, tenang dan bergaya.

Rupa depan depan menyerlah dengan lampu nipis, jeriji besar dan bernyala pada bingkai sisi.

Bahagian sisi kereta cantik dengan tingkap tanpa bingkai, pembuka pintu tersorok selain permukaan badan yang beralun dan tipikal untuk Mazda.

Rim 19 inci direka dengan ciri aerodinamik untuk menambah jarak.

Bahagian belakang juga menyerlah dan dari sisi boleh dilihat bentuk S atau lekukan ke dalam.

Rekaan lampu turut menarik dan spoiler di atas beroperasi dengan kuasa elektrik dan memainkan peranan dari segi kestabilan.

Gaya cantik di luar dibawa ke dalam dan tampil mewah. 

Skrin untuk pemandu berukuran 10.2 inci selain papar pandu (HUD) realiti terimbuh. Skrin di tengah ibarat tablet saiz 14.6 inci.

Di sebalik rekaan bergaya, kapasiti but hanya 330 liter dan Mazda menyediakan but depan (frunk) yang mempunyai ruang 70 liter.

Dari segi pengendalian, Mazda6e menjalani program talaan ampaian, stereng kuasa dan pembrekan di Pusat Penyelidikan Mazda Eropah di Frankfurt, Jerman.

Talaan ini penting untuk menyesuaikannya mengikut citarasa pelanggan di Eropah.

Mengikut tradisi, Mazda6 mempunyai versi wagon dan adakah sama untuk Mazda6e? Belum ada berita mengenainya.

Mazda6e akan tiba di negara Eropah dengan pemanduan kiri pada tahun ini dan menyusul ke United Kingdom pada setengah tahun pertama 2026.

Bagaimana pula pasaran tempatan? Masih terlalu awal tambahan pula pengecualian duti dan eksais untuk EV import akan tamat pada tahun ini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here