Bersempena dengan Tokyo Auto Salon 2025, Mazda mendedahkan roadster istimewa yang telah diberikan elemen perlumbaan oleh divisyen Mazda Spirit Racing, iaitu 12R.
Tidak seperti model MX-5 Miata yang standard, 12R didatangkan dengan enjin Skyactiv-G 2.0 liter yang telah ditala supaya mampu menjana kuasa setinggi 200 PS, satu angka impresif untuk sebuah kereta sports seberat 1,134 kg.
Enjin tersebut dilengkapi dengan komponen istimewa termasuklah camshaft, kepala silinder, omboh dan manifold ekzos.
Dikemaskan dengan warna Aero Gray, Mazda 12R ini dipadankan dengan kit badan baharu yang merangkumi splitter hadapan, skirt sisi, spoiler belakang dan rim tempa RAYS.
Ia juga turut mendapat angkup brek Brembo dengan rotor yang lebih besar, diikuti dengan unit penyerap hentak boleh laras ketinggian.
Untuk ruang kabin, roadster ini mempunyai tempat duduk jenis bucket dengan kemasan Alcantara.
Berita kurang enak, Mazda MX-5 12R ini hanya akan dibina sebanyak 200 unit dan kesemuanya hanya boleh dibeli di pasaran Jepun sahaja.