![Toyota Granvia.01](https://www.motoqar.com/wp-content/uploads/2025/02/Toyota-Granvia.01-696x497.jpg)
Mungkin ada pembaca Motoqar yang pernah terserempak MPV, Toyota Granace di atas jalan raya.
Model yang dikenali sebagai Granvia di Australia lebih besar berbanding kembar popular Alphard dan Vellfire.
Tidak ditawarkan secara rasmi, Granace dibawa masuk oleh pengimport bebas ke dalam negara. Harga bermula dari RM240,000 dan mencecah RM300,000.
Sementara itu, Toyota Australia mahu menghentikan jualan Granvia meskipun belum tiba penghujung kitaran hayat produk.
Keputusan ini dibuat berikutan perubahan keutamaan pengguna dan peraturan baharu. Lebih tepat, permintaan rendah untuk MPV yang mana lebih ramai beralih ke segmen SUV.Â
Selain itu, Toyota Australia enggan menaik taraf Granvia mengikut piawaian Peraturan Reka Bentuk Australia (ADR 98/00) yang berkuatkuasa pada 1 Mac 2025.
Toyota pada asalnya merancang untuk menaik taraf Granvia bagi memenuhi piawaian baharu namun membatalkannya selepas mengambil kira beberapa faktor.
Selain perubahan citarasa, faktor lain seperti keadaan pasaran, kerumitan pengeluaran dan peraturan masa depan turut mempengaruhi keputusan.
Segmen MPV hanya merangkumi satu peratus daripada jumlah jualan kenderaan baharu di Australia, dengan kebanyakan pembeli beralih kepada SUV yang lebih popular.
Malah, Toyota tidak menunggu lama yang mana jualan Granvia dihentikan serta-merta dengan penghantaran akhir dijadualkan pada Mac 2025.
Granvia yang diperkenalkan pada akhir 2019 ditawarkan dalam versi enam dan lapan tempat duduk dengan enjin 2.8 liter turbodiesel.
Sejak pelancarannya hampir 1,000 unit telah terjual di pasaran Australia. Sebanyak 118,081 unit kenderaan hibrid elektrik (HEV) pada tahun 2024, melonjak 63.8 peratus (45,997 unit) berbanding tahun sebelumnya.
RAV4 Hybrid menjadi penyumbang terbesar dengan 55,902 unit terjual pada 2024, lebih dua kali ganda daripada 2023 (25,666 unit).
Toyota mencatatkan jualan 2024 sebanyak 241,296 unit berbanding 238,983 unit pada 2023.
Angka itu mengekalkan penguasaan Toyota di Australia selama 22 tahun berturut-turut.