
Buat pertama kalinya, Mitsubishi Motors memperkenalkan SUV hibrid XForce HEV untuk pasaran Thailand, berbeza dengan pasaran lain yang mendapat enjin pembakaran dalaman tulen.
Menggunakan nadi yang sama pada Xpander HEV, unit rangkaian kuasa e:Motion tersebut menampilkan enjin 1.6 liter 4A92 kitaran Atkinson dengan kuasa 107 hp dan 134 Nm, dipadankan dengan motor elektrik (116 hp/225 Nm).
Terdapat beberapa mod pemanduan tersedia termasuklah Normal, Wet, Gravel, Tarmac, Mud, serta dua mod khas untuk pemanduan sifar emisi iaitu EV dan EV Charge.
Mitsubishi XForce HEV ini turut dilengkapi dengan ciri yang dapat mengurangkan kadar kehilangan tenaga selain menyumbang kepada penggunaan bahan api yang lebih baik (24.4 km/liter), seperti transaxle dua kelajuan dan fungsi pemutus sambungan motor elektrik pada kelajuan tinggi.
Bahagian luar XForce HEV ini tidak membawakan perubahan yang besar, kecuali perkataan XFORCE pada hud enjin, rim 18 inci aerodinamik, kehadiran logo HEV dengan aksen warna biru dan lensa lampu belakang yang jernih.
Tidak seperti XForce standard, XForce HEV duduk lebih rendah dengan jarak kelegaan tanah setinggi 183 mm.
Untuk menampakkan lagi perbezaan yang ketara, XForce HEV menampilkan kemasan ruang kabin yang tampak lebih premium dengan penggunaan fabrik mélange.
Ciri lain termasuklah skrin digital 8 inci, skrin Display Audio 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem audio premium Yamaha.
Kelengkapan keselamatan pula termasuklah active yaw control (AYC), kawalan jelajah adaptif (ACC), mitigasi pelanggaran depan (FCM), amaran titik buta (BSW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), serta bantuan penukaran lorong (LCA).
Di Thailand, Mitsubishi XForce HEV ditawarkan dalam tiga varian utama, dengan harga jualan bermula dari THB899,000 (RM117,000).