Polis tumpas kegiatan kutip parkir haram di ibu negara, 5 warga asing ditahan

301

Polis menahan 11 individu termasuk warga asing yang mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram di sembilan lokasi sekitar ibu negara, baru-baru ini.

Lokasi yang diserbu ialah Jalan Beremi, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tengah Changkat Bukit Bintang, Persiaran Dutamas G3 Street, Jalan Berangan, Jalan Walter Granier, Jalan Mesui, Jalan Doraisamy dan Jalan Kamunting.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi Op Parkir Haram yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur bermula jam 9 malam, 24 April lalu berjaya menahan 11 individu berusia 19 hingga 60 tahun.



Menurutnya, semakan mendapati lima daripada suspek ialah warga asing melibatkan warganegara India dan Bangladesh.

“Selain itu, dua tangkapan warga tempatan ini juga didapati memiliki dua rekod lampau kes dadah serta orang dikehendaki.

“Siasatan awal polis mendapati suspek melakukan kesalahan mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram serta merampas wang tunai yang diambil dari pemandu-pemandu secara paksaan,” katanya.

Beliau berkata, mereka ini mengenakan caj antara RM10 hingga RM20 untuk setiap kenderaan yang diparkir.

Katanya, ada antara kegiatan ini mula aktif sejak sebulan hingga dua bulan lalu.

Siasatan masih dijalankan dan tindakan akan diambil di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mendesak mana-mana orang lain yang berkenaan dengan penjagaan kenderaan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here