Lambretta mengumumkan kehadirannya secara rasmi ke pasaran Malaysia. Ikon yang menggabungkan keanggunan klasik Itali dengan moden-retro itu akan melancarkan model X250 dan G350 tidak lama lagi.
Di samping itu, sebagai permulaan Lambretta akan membuka lima pusat jualan rasmi termasuklah di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuching.
Model G350 didatangkan dengan enjin lebih besar 330cc, silinder tunggal yang menghasilkan kuasa 27hp dan tork 27Nm.
Manakala X250 didatangkan dengan sesaran enjin 275cc yang menghasilkan kuasa 25hp dan tork 27Nm bersama transmisi CVT.
Kedua-dua model mendapat pencahayaan LED dengan brek cakera di depan dan belakang, slot pengecasan USB dan panel instrumen LCD manakala G350 dilengkapi panel instrumen TFT.
Selepas era 60-an, Lambretta kembali semula ke pasaran tempatan selepas sekian lama vakum. Jenama itu diasaskan pada 1947 yang mendapat inspirasi daripada skuter Cushman berwarna hijau zaitun, yang digunakan secara meluas di Itali ketika peperangan.
Visi di sebalik Lambretta adalah untuk mencipta sebuah kenderaan yang menawarkan kemudahan pemanduan, sesuai untuk lelaki dan wanita yang menyatukan praktikaliti dengan gaya Itali yang unik.
Era baharu skuter Lambretta menggabungkan keanggunan, fungsi, dan estetik yang kekal sepanjang zaman hasil gabungan nostalgia dan moden. Skuter itu menggunakan seni bina monokok unik.