Proton catat 11,025 jualan April 2024, X50 kembali tempat teratas jualan SUV segmen B

190

PROTON mencatatkan pertumbuhan 17.1 peratus berbanding bulan yang sama pada 2023, dengan jualan 11,025 unit (domestik dan eksport) berbanding 9,415 unit pada April tahun lalu. 

Jualan bagi empat bulan pertama 2024 meningkat kepada 50,175 unit, lebih tinggi daripada 49,702 unit yang terjual dari Januari hingga April 2023. 

Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi pasaran automotif Malaysia pula juga meningkat kepada anggaran 59,100 unit untuk tempoh yang sama, dengan jumlah kumulatif sebanyak 261,345 unit bagi tahun ini.



Pegangan pasaran PROTON dianggarkan pada 18.7 peratus pada April, manakala pegangan pasaran dalam tahun ini dijangka pada 19.2 peratus sekali gus mengekalkan kedudukan kedua dalam tangga jualan automotif negara.

Jualan eksport khususnya, memainkan peranan penting dalam prestasi syarikat, melonjak sebanyak 38.5 peratus dari 603 unit kepada 835 unit sejak awal tahun hingga bulan April. 

Proton X50 mendahului semula kategori SUV segmen B

Proton X50 mendahului semula jualan SUV segmen-B walaupun menghadapi persaingan yang semakin sengit, ia mencapai jualan 1,642 unit pada bulan April. 

Sementara itu, Proton S70 mendahului jualan sedan segmen-C sejak awal tahun dan berterusan dengan 1,635 unit terjual pada bulan April. Bagi tahun 2024, ia telah mencapai jualan kumulatif sebanyak 7,463 unit.

Model terlaris PROTON, Proton Saga, mencatatkan 5,031 unit pada April dengan jualan awal tahun sehingga kini meningkat 8.8 peratus kepada 23,278 unit, mengekalkannya sebagai pilihan utama bagi pembeli kereta dengan gabungan ciri, kemudahan pemanduan dan nilai.

Bagi model PROTON yang lain, jualan untuk Proton X70 mencapai 552 unit, manakala Proton Persona dan Proton X90 mencatatkan jualan masing-masing membabitkan 1,429 unit serta 312 unit.

Proton Iriz menambah 424 unit kepada jumlah jualan April, membawa jumlah jualan awal tahun sehingga kini kepada 1,958 unit. 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, penurunan dalam jualan automotif pada April, di mana TIV menyusut sebanyak 16.8 peratus berbanding Mac 2024.

“Ia mungkin disebabkan oleh tempoh cuti panjang sambutan Aidilfitri, di mana OEM, pengedar, dan pengusaha dalam ekosistem automotif tempatan lain tidak beroperasi sempena cuti. 

“Walau bagaimanapun, permintaan berterusan untuk model Proton diperkukuh lagi oleh usaha berterusan dalam penambahbaikan kualiti dengan skor Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) yang lebih baik sejak 2019, menanamkan keyakinan yang lebih tinggi dalam kalangan pemandu,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here