Sesat 6-jam dalam hutan, bomba temui pemuda dalam keadaan lemah dan menangis

700

Gara-gara mengunakan aplikasi Waze untuk pulang ke rumah abang di Sungai Petani, seorang penunggang motosikal sesat kira-kira enam jam dalam hutan di Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah.

Pemuda berusia 32 tahun itu dikatakan bekerja di Pulau Pinang namun baharu selesai beraya di rumah rakannya di Sungai Lalang.



Dia bagaimanapun merancang untuk menumpang tidur di rumah abangnya di Sungai Petani dengan berpandukan aplikasi Waze namun tersesat sehingga masuk ke kawasan hutan kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian setelah dihubungi mangsa kira-kira jam 7 pagi.

Menurutnya, berpandukan arah penduduk kampung, pihaknya cuba menjejaki mangsa yang tersesat.

“Difahamkan, mangsa menggunakan aplikasi Waze dan berulang kali melalui jalan yang ditunjukkan, namun buntu sehingga memasuki kawasan hutan yang tiada liputan telekomunikasi.

“Sehingga jam 7 pagi, mangsa cuba mencari kawasan yang boleh dihubungi seterusnya membuat panggilan kecemasan meminta bantuan bomba,” katanya.

Menurut Zulkhairi, setelah operasi mencari dan menyelamat dilakukan, mangsa ditemui pada jam 8.10 pagi jauh ke dalam hutan lebih kurang 10km dari jalan raya dalam keadaan lemah, terketar-ketar dan menangis akibat panik dan kebingungan.

“Kita memberi rawatan awal dan menenteramkan mangsa, seterusnya dihantar ke Klinik Kesihatan Felda Teloi Timur dan dirujuk kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here