Xiaomi SU7 rosak selepas pandu 39km dan tidak boleh dibaiki

2830

Xiaomi memulakan penghantaran kereta pertamanya, SU7 pada 3 April lalu. Selain laporan kemalangan kereta elektrik (EV) tersebut, insiden terbaru ini mungkin agak pelik setakat ini.

SU7 itu rosak selepas dipandu sejauh 39km. Oleh kerana pusat servis tidak menemui punca kerosakkan, EV tersebut perlu dipulangkan semula ke kilang untuk analisis. Buat masa ini, informasi terperinci masih tidak diketahui.



Berdasarkan maklumat awal, pemilik kereta, Wen yang merupakan antara kumpulan awal membeli Xiaomi SU7 itu menerima kereta di Pusat Penghantaran Xiaomi Auto Xiamen Xing’an, Wilayah Fujian. 

Pada 6 Mei, Wen memuatnaik video di platform sosial media menyatakan SU7 miliknya rosak ketika memandu pada kelajuan tinggi sebaik meninggalkan pusat jualan 4S. 

Kereta itu ditunda kembali ke pusat jualan yang mana insiden dipercayai terjadi pada 5 Mei lalu. 

Menerusi video yang dikongsi, SU7 berkenaan diparkir di lorong kecemasan dengan lampu kecemasan dinyalakan.

Pada unit infotainmen memaparkan mesej “Kereta akan berhenti, sila hentikan kereta dengan selamat dan hubungi pusat servis dalam talian”.

Mesej seterusnya menunjukkan “sistem pemanduan rosak dan tukaran gear tidak dapat dilakukan”. Ini menunjukkan terdapat ralat yang mana gear tidak boleh dialihkan antara ‘D’ dan ‘R’.

Pusat Penghantaran Xiang’an mengesahkan kejadian tersebut pada 7 Mei  dan masih tidak dapat mengenalpasti masalah yang berlaku. Susulan SU7 itu tidak dapat dibaiki, ia  dihantar ke kilang untuk analisis bagi mencari punca kerosakkan. 

XIAOMI BAYAR GANTI RUGI

Selepas kejadian, Wen meminta kereta baharu dan enggan menerima bayaran balik.  

“Saya mahu kereta, bukannya pulangkan kereta itu dan saya tidak mahu membuat tempahan baru dan menunggu semula penghantaran,” katanya.

Pihak Xiaomi tidak dapat memberikan kereta baharu susulan kenderaan dalam pengeluaran sudahpun ada pemilik. Perkhidmatan pelanggan Xiaomi dilaporkan sedang berunding bayaran balik kepada Wen berserta pampasan perbelanjaan yang ditanggungnya.

Xiaomi menduduki tempat keenam dalam liga jualan pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV) untuk kereta berharga melebihi CNY 200,000 tahun.

Xiaomi SU7 mula dijual sejak akhir Mac dan mencapai penghantaran sebanyak 8,500 unit sehingga 5 Mei.

Ini bukan insiden pertama melibatkan masalah kualiti bagi Xiaomi SU7. Salah satunya adalah fungsi AEB tidak dapat beroperasi sehingga 135kmj seperti mana dakwaan pengeluar.

Terdapat juga laporan berkaitan ketebalan cat yang tidak sama rata. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here