Seramai 15 individu ditahan polis berikutan kes tular yang dipercayai melakukan aktiviti memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands, baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dipetik Sinar Harian berkata, penahanan itu membabitkan 10 lelaki dan lima wanita selepas mereka hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, pada Sabtu.
Menurutnya, kesemua mereka berusia antara 23 hingga 28 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.
“Polis masih dalam proses merakam percakapan saksi ketika kejadian.
“Ini bagi melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, setakat ini keterangan empat saksi sudah diambil bagi membantu siasatan kes.
Menurut laporan Sinar Harian pada 13 Mei lalu, satu klip video tular di laman sosial memaparkan sekumpulan individu ‘berkelah’ dan memasak di sebuah stesen minyak dipercayai di Genting Highlands, Pahang mengundang kecaman netizen kerana bimbang tindakan itu akan membahayakan keselamatan.
Video berdurasi satu minit dua saat yang tular menunjukkan beberapa individu sedang melepak sambil memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas mudah alih.