Buat peminat motosikal kategori sport bike, ini ada berita baik untuk anda selepas Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) mengumumkan akan melancarkan Kawasaki Ninja ZX-6R versi pemasangan tempatan (CKD) pada tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, motosikal itu akan dilancarkan pada awal tahun hadapan dengan versi CKD.
Harga Kompetitif
“Harga yang ditawarkan adalah kompetitif dan berpatutan dengan sejumlah 45 peratus komponen tempatan ada pada model berkenaan,” katanya pada Majlis Eksport Ninja ZX-6R di Kilang EMOS Gurun, Kedah, semalam.
Apa yang difahamkan, jentera itu akan dilancarkan pada Januari tahun hadapan dengan harga mungkin di bawah RM70,000.
Pada masa sama, EMOS memperluaskan lagi rangkaian eksportnya dengan menghantar motosikal Ninja ZX-6R CKD untuk pasaran China.
45 Peratus Komponen Tempatan
Sehingga kini, sudah 280 unit dihantar ke pasaran China yang mana jentera ZX-6R memiliki 45 peratus komponen tempatan.
Pada masa sama Roslan berkata, pihaknya melaburkan antara RM5 sehingga RM8 juta untuk projek CKD Ninja ZX-6R sama ada untuk kos kemudahan pemasangan serta latihan kepada pekerja.
“Sehingga kini, kapasiti tahunan yang kami boleh pasang Ninja ZX-6R adalah 2,000 unit dan pada tahun ini kami jangka akan mengeksport melebihi 1,000 untuk pasaran China,” katanya.
Untuk makluman, kilang EMOS yang terletak di Gurun, Kedah, sudah pun memasang sembilan model Kawasaki membabitkan Ninja 250, Z 250, Versys-X 250, Vulcan-S 650, Z-900, ZX-25R, Ninja 650 / Ninja Z 650, Versys 650 dan ZX-6R.
Sejak 1997, EMOS sebenarnya sudah lama mengeksport motosikal yang dipasang di kilang berkenaan dengan mencatatkan 91,057 unit dengan membabitkan 40 negara.
Kawasaki Ninja ZX-6R Generasi Baharu
Bagi spesifikasi Ninja ZX-6R yang akan dipasarkan ke China ia adalah model generasi terbaharu yang menerima beberapa naik taraf.
Jentera itu tampil dengan rekaan lampu hadapan baharu, panel badan sisi juga berbeza selain menggunakan panel meter TFT 4.3-inci baharu berbanding generasi sebelumnya.
Dari segi rangkaian kuasa, ia masih menggunakan enjin 636cc yang mampu menghasilkan 122hp pada 13,000rpm dan 70Nm pada 11,800rpm dengan mencapai emisi Euro 5.
Ninja ZX-6R turut ditawarkan dengan empat mod baharu membabitkan Sport, Road, Rain dan Rider dengan setiap mod dipadankan bersama tetapan traction control dan kuasa berbeza.
Suspensi diperkuatkan dengan Showa Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) dan monoshock yang sama seperti model sebelumnya.
Bagi pasaran Malaysia pula yang dijangka masuk tahun sadapan, spesifikasi Ninja ZX-6R adalah sama dengan versi untuk eksport pasaran China.