Pelumba muda berbakat, Hayden Haikal memperoleh kejuaraan pertamanya dalam Toyota Vios Challenge apabila berada di depan dari mula hingga tamat perlumbaan kategori Sporting Class.
Pemandu berusia 14 tahun itu merupakan pelumba go-kart sebelum berpindah kepada perlumbaan kereta sedan ini.
Hayden menamatkan perlumbaan 20 pusingan itu dengan lebih dari 7 saat di depan pemandu di tempat kedua.
Bermula di petak kedua, dia terus memotong Kenneth Koh dari Panglima City Racing Team di selekoh pertama dan terus meningkatkan jaraknya dari Kenneth di litar North Track sepanjang 2.61km itu.
“Saya mendapat permulaan yang baik, namun sangat gementar sepanjang perlumbaan. Saya risau membuat kesilapan namun akhirnya semua berjalan lancar. Ia sangat mengujakan untuk memenangi perlumbaan sedan pertama saya,” kata bekas juara dua kali Malaysian Rotax Max Challenge itu.
Ditanya jika menyukai perlumbaan di litar jalanan atau litar sebenar seperti Sepang, Hayden menambah: “Saya lebih selesa berlumba di litar sebenar begini kerana ia jauh lebih lebar dan anda boleh bawa lebih kelajuan di selekoh.”
Untuk pemenang tempat kedua, Koh berkata, “Hayden sangat pantas dan saya dapat merasakannya apabila melihat catatan masanya dalam sesi latihan dan kelayakan. Saya memang tidak dapat mengejarnya dan perkara terbaik boleh saya lakukan ialah menamatkan perlumbaan dengan kutipan mata.”
Super Sporting Class
Freddie Ang dari Telagamas Toyota menjuarai Super Sporting Class selepas beberapa komplikasi. Secara teknikal, Alif Hamdan dari Laser Motor Racing melepasi garisan penamat diikuti Syafiq Ali dari M7 Racing Team.
Namun, Alif dikenakan penalti jumpstart sebanyak 10 saat, menjatuhkannya ke tempat ketiga. Syafiq pula digugurkan kerana melanggar undang-undang teknikal.
Promotional Class
Persaingan antara selebriti pula menyaksikan penyanyi Aiman Tino merangkul kejuaraan Race 1 di depan pelakon Diana Danielle dan penyanyi Akim Ahmad di tempat ketiga.
Diana bermula di petak ketiga namun dengan permulaan baik, dapat berada di depan memasuki selekoh pertama. Dia memimpin perlumbaan sebanyak enam pusingan sebelum dipotong oleh Aiman yang terus memberi tekanan.
“Tiada yang boleh saya lakukan. Aiman sememangnya lebih pantas dan terlalu berisiko untuk membuat kesilapan apabila ditekan. Jadi saya rasakan memberi laluan adalah perkara terbaik,” kata Diana.
Walaubagaimanapun, Diana masih mengekalkan kedudukan teratasnya dalam kutipan mata keseluruhan, iaitu 79 mata. Diana berpeluang besar memenangi kejuaraan keseluruhan Promotional Class musim ini.
Keputusan: Race 1, Round 4, Sepang International Circuit
SUPER SPORTING CLASS
- Syafiq Ali M7 Racing Team
- Freddie Ang Telagamas Toyota
- Alif Hamdan Laser Motor Racing
- Boy Wong ST Wangan Racing Team
- Keifli Othman Team Nanoplus
SPORTING CLASS
- Hayden Haikal Prodigy Racing
- Kenneth Koh Panglima City Racing Team
- Eric Yong ST Wangan Racing Team
- Brendon Lim Tedco Racing
- Clement Yeo Distinctive Model
PROMOTIONAL CLASS
- Aiman Tino
- Diana Danielle
- Akim Ahmad
- Khai Bahar
- Wany Hasrita