Subaru sebelum ini pernah berkata yang mereka tidak akan menawarkan varian STI bagi WRX generasi semasa. Namun ini tidak bermakna syarikat itu tidak akan menawarkan varian-varian yang memfokuskan kepada prestasi.
Selepas memperkenalkan WRX TR tahun lalu, Subaru kini memperkenalkan satu lagi varian yang menjanjikan keseronokan pemanduan iaitu WRX tS (Tuned by STI).
Hadir sebagai pengganti TR, WRX tS didatangkan dengan peredam yang dikawal secara elektronik yang ditala oleh divisyen STI. Ia boleh dilaraskan menerusi mod Comfort, Normal dan Sport yang sebelum ini hanya terdapat pada WRX GT.
Tidak cukup dengan itu, Subaru turut menyertakan sistem brek Brembo yang merangkumi angkup enam omboh di hadapan dan angkup dua omboh di belakang.
Angkup berwarna emas itu terselindung di sebalik rim kelabu satin berukuran 19 inci yang dibalut tayar Bridgestone Potenza S007 dalam saiz 245/35.
Dari segi penampilan, WRX tS boleh dibezakan melalui logo WRX berwarna merah pada gril, logo tS pada bahagian belakang serta kemasan Crystal Black Silica pada cermin sisi, antena dan spoiler.
Ruang dalaman pula tampil sporty menerusi kerusi bucket Recaro dengan balutan Ultrasuede hitam dan aksen biru, serta logo tS pada perehat kepala dan karpet.
Bumbung suria pula dibuang bagi mengurangkan berat serta mendapatkan titik graviti yang lebih rendah dan ruang kepala yang lebih luas.
Untuk kelengkapan, WRX tS didatangkan dengan kluster instrumen digital 12.3 inci, dan skrin sentuh 11.6 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto Auto tanpa wayar.
Eyesight Driver Assist Technology juga disertakan secara standard, membawakan ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control, Pre-Collision Braking System, Lane Departure and Sway Warning, dan Lead Vehicle Start Alert.
Sayangnya, tiada sebarang perubahan di bawah bonet. Enjin boxer 2.4 liter empat silinder turbonya kekal dengan 271 hp pada 5,600 rpm dan 350 Nm dari 2,000 hingga 5,200 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan.
Harga model ini tidak dinyatakan namun menurut Subaru, ia akan dijual di Amerika Syarikat bermula suku pertama 2025.