Mazda hentikan sementara jualan MX-5 RF di Jepun akibat isu perisian enjin

1394

Nampaknya Toyota bukan satu-satunya pengeluar dari Jepun yang menghentikan sementara jualan kenderaan mereka akibat penyelewengan dalam proses penilaian.

Mazda dilaporkan mengambil langkah yang sama untuk MX-5 RF selepas didapati menggunakan perisian kawalan enjin yang berbeza untuk model yang diuji dengan model produksi yang dijual dalam pasaran.

Menurut laporan, syarikat itu mengaku mereka telah menggunakan perisian kawalan enjin berbeza yang menyahaktifkan fungsi pelarasan masa pencucuhan (ignition timing adjust) semasa proses pensijilan.



Dari Jun 2018, Mazda telah mengeluarkan sebanyak 10,930 unit kenderaan dengan perisian tersebut dan daripada jumlah itu, 10,760 unit telah diserahkan kepada pelanggan di Jepun.

Unit yang terjejas dengan isu ini terdiri daripada jenis model 5BA-NDERC dan 5BA-NDERE, masing-masing dengan nombor casis bermula dari 300001 dan dari 100001. 

Mazda berkata ia telah menghentikan penghantaran kepada pelanggan pada 30 Mei lalu dan memohon maaf atas kelewatan yang dihadapi.

Mazda2 juga terpalit dengan isu perisian

Satu lagi model yang didapati dijual dengan perisian berkenaan adalah Mazda2 dengan enjin 1.5 liter. Ia melibatkan sebanyak 42,240 unit, di mana 41,361 unit telah dijual sejak Jun 2021.

Menurut Mazda, mereka kini sedang menulis semula perisian kawalan enjin yang digunakan dalam proses ujian kedua-dua model berkenaan supaya sepadan dengan perisian yang terdapat pada versi produksi.

Syarikat itu juga memastikan yang model-model berkenaan masih selamat untuk dipandu.

Guna ‘peranti luaran’ untuk ujian pelanggaran Mazda6 dan Mazda 3

Sementara itu, dua lagi model keluaran Mazda iaitu Mazda6/Atenza dan Mazda3/Axela turut didapati melalui proses penilaian pelanggaran hadapan menggunakan ‘peranti luaran’ (external device).

Peranti tersebut digunakan untuk mencetuskan pengaktifan beg udara secara bermasa dan bukannya menggunakan sensor yang ada pada kenderaan untuk mengaktifkan beg udara.

Syarikat itu berkata model-model yang terlibat tidak lagi dikeluarkan dan unit yang dikeluarkan selamat untuk digunakan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here