Lamborghini Urus SE: Versi Plug-in Hybrid, 800PS, 950NM, harga bermula RM1.03 juta

340

Selepas pelancaran di Beijing Auto Show 2024 pada April lalu, kini tiba pula giliran Malaysia untuk memperkenalkan Lamborghini Urus SE selaku kenderaan Plug-in Hybrid.

Ia adalah kenderaan pertama Super SUV Lamborghini yang menggunakan sistem Plug-in Hybrid yang berkeupayaan mengurangkan emisi sehingga 80 peratus.

Menghamburkan sehingga 800PS dengan tork setinggi 950Nm

Lamborghini Urus SE memiliki kuasa yang cukup mengagumkan dengan menggunakan enjin 4 liter V8 turbo berkembar gabungan tren kuasa elektrik. Gabungan kedua-duanya itu, ia mampu menghamburkan sehingga 800PS dengan tork setinggi 950Nm.



Kuasa itu disalurkan ke transmisi lapan kelajuan automatik dengan berkebolehan memecut 0-100km/j dalam 3.4 saat manakala 11.2 saat bagi 0-200km/j. 

Kelajuan maksimumnya pula boleh mencecah sehingga 312km/j. Angka itu menjadikan Urus SE model Urus paling berkuasa setakat ini, sekali gus menjadi sebuah kereta produksi paling laju dalam segmennya.

Memandangkan ia sebuah kenderaan Plug-in Hybrid, ia boleh dipandu melebihi 60 kilometer menggunakan mod elektrik dengan laju maksimum 130 km/j.

Enam pilihan mod pemanduan

Selain itu, ia ditawarkan dengan enam pilihan mod pemanduan yang digabungkan dengan empat Electric Performance Strategies (EPS) baru. 

Ia membabitkan mod Strada, Sport dan Corsa bagi kegunaan jalan dan litar; mod Neve, Sabbia dan Terra untuk permukaan dengan cengkaman berbeza. Selain itu dilengkapi pilihan mod EV Drive, Hybrid, Performance dan Recharge.

Dari segi rekaan hadapannya, ia hadir hud rekaan terapung baharu dengan perumah lampu dihiasi kemasan DRL pada bahagian sisinya. Lampu DRL itu diilhamkan daripada ekor lembu yang terdapat pada logo Lamborghini.

Belakangnya pula, pintu ruang kargo direka semula sepenuhnya yang diilhamkan daripada model Gallardo dengan menghubungkan kluster lampu belakang dengan lampu berbentuk ‘Y’.

Malah turut dilengkapi diffuser belakang dan spoiler baharu, ia mampu meningkatkan down force belakang sebanyak 35 pertatus pada kelajuan tinggi berbanding Urus S, seterusnya meningkatkan kestabilan kenderaan.

Rasa seperti seorang juruterbang

Ruang kabin pula menonjolkan DNA reka bentuk Lamborghini yang ikonik “rasa seperti seorang juruterbang” yang diperkenalkan pada model Revuelto.

Turut dilengkapi skrin yang lebih besar bersaiz 12.3 inci dipasang di tengah papan pemuka menampilkan versi baharu. 

Bahagian kokpit, pemandu boleh menggunakan kluster instrumen digital 12.3 inci dan skrin sentuh 12.3 inci tadi boleh diintegrasikan ke tengah papan pemuka dan menjadi Sistem Infotainmen Lamborghini (LIS).

Seperti model lain, pemiliknya boleh melakukan pilihan kustom untuk memilih rim 23 inci Galanthus, pilihan warna luaran berbeza sehingga 100 warna, 47 warna untuk ruang kabin dan empat jenis jahitan.

Bagi pasaran Malaysia, Lamborghini Urus SE dijual bermula RM1,028,000 sebelum cukai, duti dan pilihan kustom.

Galari Gambar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here