17 tahun berlalu, Nissan GT-R (generasi R35) merupakan antara produk kereta sports “tua” yang masih lagi diproduksikan sehingga kini jika kita mengikut standard automotif zaman sekarang.
Entah bila Nissan mahu menggantikan R35, hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Namun, pada acara Japan Mobility Show yang dianjurkan pada tahun lepas, Nissan telah memperlihatkan sebuah model konsep yang dinamakan sebagai Hyper Force, mungkin sekali akan menjadi model pengganti GT-R R35 sedia ada.
Nissan sebelum ini mengesahkan mereka tidak lagi berminat untuk membangunkan enjin pembakaran dalaman generasi baharu.
Namun, dalam satu temubual bersama media Australia Drive, naib presiden kanan Nissan untuk rantau Afrika, Timur Tengah, India, Eropah dan Oceania Francois Bailly mendedahkan Nissan GT-R baharu sedang dibangunkan.
“Jawapan pendek, ya. Saya tidak menyertai Nissan untuk membina sebuah minivan, kereta pertama saya merupakan sebuah Nissan Z.”
Beliau turut menjelaskan penglibatan Nissan dalam sukan Formula E sedikit sebanyak menyumbang kepada pembangunan kereta jalanan tersebut.
Satu hakikat yang sukar untuk ditelan, kereta sports masa depan Nissan akan dikuasakan oleh elektrik, selari dengan visi Nissan.
Namun begitu, Bailly menegaskan produk sports itu hanya akan diproduksikan sekiranya Nissan merasakan teknologi tersebut sudah sedia untuk digunakan.
“Kami tidak akan menghasilkan sebuah produk GT-R separuh masak, itu bukan niat kami.”
Berdasarkan beberapa laporan, Nissan GT-R R36 bakal menampilkan teknologi bateri jenis pejal (solid-state) yang dikatakan mempunyai kadar ketumpatan tenaga yang jauh lebih tinggi berbanding bateri lithium-ion, dan dalam masa yang sama lebih ringan dan boleh dicas dengan lebih pantas.
Nissan merancang untuk memperkenalkan bateri pejal ini pada tahun 2028, di mana generasi supercar baharu Nissan GT-R R36 dilihat mampu menjadi calon yang sesuai untuk memperlihatkan kehebatan teknologi ini berbanding tetapan sedia ada.