Satu kajian baharu menunjukkan betapa pentingnya kewujudan Apple CarPlay dan Android Auto kepada pembeli kereta baharu di seluruh dunia.
Menurut kajian McKinsey & Co, mereka mendapati 30 peratus pembeli kenderaan elektrik (EV) dan 35 peratus pembeli kereta berenjin pembakaran dalaman (ICE) tidak berminat untuk membeli kenderaan yang tidak mempunyai Apple CarPlay dan Android Auto.
Sentimen ini turut dikongsi oleh golongan pengguna di Amerika Syarikat, di mana 25 peratus pembeli EV dan 38 peratus pembeli kenderaan ICE tidak mahu membeli kenderaan yang tidak menawarkan fungsi cerminan peranti pintar (smartphone mirroring).
Kajian yang sama turut mendedahkan 30 peratus pembeli EV sanggup membayar lebih untuk mendapatkan fungsi integrasi peranti pintar, diikuti 17 peratus bagi golongan pembeli kereta ICE.
Reponden turut ditanya apa yang akan dilakukan sekiranya fungsi Apple CarPlay dan Android Auto dibuang daripada kenderaan masing-masing.
35 peratus pengguna menjelaskan mereka akan menggunakan fungsi yang terdapat dalam sistem infohibur standard, manakala 52 peratus responden akan menggunakan peranti pintar masing-masing.
14 peratus lagi sanggup untuk bertukar jenama kenderaan untuk pembelian berikutnya.