Dengan peraturan emisi yang semakin lama semakin ketat, Honda mengambil keputusan untuk keluar daripada pasaran motosikal berkapasiti kecil di Jepun pada 2025.
Menurut laporan, Jepun akan mula membanteras emisi yang dilepaskan oleh motosikal dan moped (kapcai) dengan enjin bersesaran 50 cc dan ke bawah.
Disebabkan sifat semula jadi enjin berkapasiti kecil ini, mereka bentuk dan menghasilkan penukar pemangkin atau catalytic converter disifatkan mencabar dari segi teknikal dan juga kos.
Malah, dengan kebanjiran basikal elektrik di pasaran, jualan moped dan motosikal berkapasiti kecil jatuh merudum dengan hanya 92,824 unit terjual tahun lalu, lapor Nikkei Asia.
Angka tersebut jauh berbeza dengan zaman kemuncak moped pada 1982 di mana sebanyak 2.78 juta unit berjaya dipasarkan.
Walau bagaimanapun, Honda masih mempunyai pegangan 80 peratus dalam pasaran moped di negara Matahari Terbit itu.
Dengan keputusan ini, model-model ikonik seperti Super Cub C50, yang pernah dinobat sebagai motosikal terhebat dunia, bakal meninggalkan pasaran buat selama-lamanya.
Sejak diperkenalkan lebih 60 tahun yang lalu, Honda telah menjual lebih 110 juta unit Super Cub, sekali gus menjadikannya motosikal terlaris di dunia.
Namun jangan bersedih kerana syarikat itu dilaporkan akan terus menjual varian berkapasiti besar iaitu Super Cub C125.
Selain Super Cub, Honda buat masa ini menawarkan beberapa model bawah 50 cc termasuk Cross Cub, Benly dan CRF50F.