Pengeluar EV China dapat pelbagai bantuan kerajaan, patutlah boleh jual murah

120

Kenaikan tarif ke atas EV China yang memasuki pasaran Eropah berkuat kuasa secara rasmi pada 5 Julai 2024.

Langkah itu diambil bagi melindungi pasaran dan industri automotif di benua itu. Menariknya, setiap pengeluar dikenakan kadar kenaikan tarif yang berbeza. Apakah sebabnya?

Menurut laporan Suruhanjaya Eropah (EC), pengeluar EV dari China mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan negara itu.



Ia termasuk pinjaman bank, pembiayaan, geran, insentif jualan, tanah yang murah untuk pembinaan kilang dan bateri yang disubsidi.

Oleh itu, EC memutuskan untuk menaikkan tarif berdasarkan jumlah bantuan yang diterima. Pemilik jenama MG iaitu SAIC dilaporkan mendapat lebih banyak bantuan berbanding syarikat-syarikat lain, dengan subsidi mencecah 34.4 peratus, lapor Reuters.

Angka tersebut merangkumi 1.38 peratus untuk pinjaman daripada bank milik kerajaan, 8.27 peratus dari pembiayaan lain, 8.56 peratus dalam bentuk geran, 2.28 peratus dalam insentif jualan EV, 0.67 peratus untuk diskaun hartanah dan 13.24 peratus untuk bateri.

Ini tidak termasuk kos pemasangan di China yang lebih rendah berbanding di Eropah, di mana kadar buruh lebih tinggi dikenakan.

SAIC juga dikatakan tidak memberikan kerjasama yang baik dengan penyiasatan itu. Oleh itu, ia dikenakan tarif maksimum sebanyak 37.6 peratus, tidak termasuk 10 peratus untuk tarif sedia ada.

Sementara itu, BYD dan Geely dikenakan tarif lebih rendah iaitu 17.4 peratus dan 19.9 peratus. Menurut EC, kedua-dua jenama tersebut kurang menerima bantuan daripada kerajaan China, selain memberikan kerjasama sepanjang proses siasatan. 

Walaupun sudah mengadakan perbincangan dengan Kesatuan Eropah (EU) sejak beberapa minggu lalu, industri auto China tidak dapat memujuk kesatuan itu untuk membatalkan rancangan mereka untuk menaikkan tarif.

Bagaimanapun, tarif baharu ini adalah untuk sementara (provisional) untuk tempoh empat bulan. China dan EU akan terus berkomunikasi dalam minggu-minggu akan datang untuk mencari jalan penyelesaian yang dipersetujui bersama.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here