Berita baik buat para peminat hot hatch Toyota, ini kerana pengeluar itu dilapor sedang merancang untuk menawarkan hatchback pantas GR Corolla dalam versi automatik lapan kelajuan.
Berdasarkan dokumen yang bocor dalam Forum GR Corolla, pembeli GR Corolla model tahun 2025 boleh mendapatkan varian Premium AT yang dibekalkan dengan DAT (Direct Automatic Transmission) lapan kelajuan lengkap dengan pedal shifter.
Bagaimanapun, kotak gear manual masih lagi ditawarkan standard bagi varian Core dan Premium.
Berbanding tawaran sedia ada, Toyota GR Corolla 2025 bakal mendapat naik taraf prestasi, yang mana tork meningkat daripada 370Nm kepada 400Nm.
Ini adalah selari dengan kemaskini yang dilakukan pada sebuah lagi hot hatch Toyota pada tahun lalu.
Pembeli kini boleh mendapatkan GR Yaris bertransmisi manual atau kotak gear automatik lapan kelajuan, selain peningkatan prestasi (272PS menjadi 304PS).