Jaguar akan hentikan jualan enam model tahun ini, hanya F-Pace selamat

193

Seorang jurucakap Jaguar Land Rover (JLR) mendedahkan bahawa syarikat itu akan menghentikan jualan enam model Jaguar bermula tahun ini sebagai persediaan untuk memasuki era elektrifikasi serta membuat keuntungan.

Bercakap kepada Automotive News Europe, jurucakap tersebut mengesahkan bahawa model-model yang akan ‘dicantas’ dari barisan Jaguar adalah XE, XF sedan, XF wagon, F-Type, E-Pace dan I-Pace.

Pada mulanya, I-Pace dikhabarkan akan dikekalkan bersama-sama dengan model-model EV baharu Jaguar tetapi dengan perkembangan terbaru ini, nampaknya crossover elektrik itu sah akan meninggalkan pasaran hanya selepas enam tahun dijual.



Ketua Pegawai Eksekutif Jaguar, Adrian Mardell memberitahu pelabur bahawa keenam-enam model berkenaan adalah produk “bernilai rendah” yang tidak memberikan sebarang keuntungan kepada syarikat.

Dengan pengumuman ini, barisan model Jaguar terdiri daripada satu model sahaja iaitu F-Pace. Itu pun SUV itu dijangka tidak kekal lama berikutan strategi elektrik Jaguar yang akan mula dilaksanakan tidak lama lagi.

Menurut laporan, Jaguar akan mendedahkan kereta elektrik konsep jenis gran tourer tidak lama lagi bersama  SUV bersaiz besar.

Dalam era elektrik, Jaguar dijangka menjual kira-kira 50,000 unit kereta setiap tahun. Setiap model dibina menggunakan platform EV yang dikenali sebagai Jaguar Electrified Architecture (JEA).

Selain itu, model-model baharu Jaguar akan menampilkan kawalan stereng roda belakang, pacuan semua roda, pengecasan pantas serta bahasa reka bentuk segar yang memfokuskan kepada minimalis yang akan menyaksikan logo harimau kumbang yang ikonik itu digantikan dengan tulisan “JAGUAR”.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here