Perincian awal Honda Ye S7 didedahkan, bakal dilancarkan di China tahun ini

169

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Honda akan memperkembangkan barisan kenderaan elektrik mereka di China dengan siri Ye baharu.

Dalam perkembangan terkini, Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT) dan Dongfeng Honda telah pun menyiarkan gambar dan perincian awal mengenai model pertama yang akan dilancarkan iaitu Ye S7.



Reka bentuk Ye S7 telah pun diperlihatkan sebelum ini, namun bagaimana pula dengan ukurannya?.

Menurut MIIT, Ye S7 mempunyai ukuran panjang 4,750 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,625 mm dan tapak roda 4,750 mm, meletakkannya sebaris dengan model-model seperti Tesla Model Y dan Mustang Mach-E.

Mengenai spesifikasinya pula, Ye S7 dibina menggunakan platform yang didedikasikan khas untuk EV yang dikenali sebagai Architecture W.

Varian RWD didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang menjana 268hp, manakala varian AWD pula mempunyai satu lagi motor elektrik pada gandar depan yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 201hp.

Tiada maklumat mengenai jarak perbatuan namun menurut laporan terdahulu, Ye S7 berkemungkinan besar didatangkan dengan bateri litium ion keluaran CATL yang menawarkan jarak sehingga 500km.

Honda sebelum ini pernah mengatakan yang Ye S7 dan P7 akan memasuki pasaran China sebelum akhir tahun ini, diikuti oleh GT menjelang akhir 2025.

Ye S7 akan dipasang di China oleh usaha sama Honda Dongfeng, manakala P7 pula akan dipasang oleh GAC Honda.

Pengeluar dari Jepun itu mensasarkan untuk melancarkan 10 model EV di China menjelang 2027, dengan enam daripadanya dari siri Ye. Matlamat utama mereka adalah untuk menjadi jenama eksklusif EV di rantau itu menjelang 2035.

GALERI

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here