Hujung minggu yang lalu berlangsungnya acara perlumbaan Suzuka 8 Hours Endurance yang ke-45 di Litar Suzuka.
Pada acara itu, Kawasaki mengambil kesempatan mempamerkan model motosikal berkuasa hidrogen yang dinamakan sebagai Kawasaki Ninja H2 HySE.
Motosikal pertama Kawasaki berkuasa hidrogen ini sebenarnya dibangunkan oleh konsortium HySE yang disertai oleh Kawasaki, Yamaha, Suzuki, Honda dan juga Toyota.
Ia dibina menggunakan asas daripada model H2 sedia ada yang mana enjin 999cc empat silinder sebaris itu digandingkan dengan sistem suntikan bahan api hidrogen.
Ciri yang unik wujud pada jentera ini ialah ruang storan hidrogen yang sengaja direka seakan kotak pannier pada bahagian kiri dan kanan.
“Kami akan terus menjalankan penyelidikan pada masa depan supaya orang ramai akan dapat terus menikmati tunggangan motosikal berenjin walaupun pada ketika itu bahan api petrol sudah tidak lagi boleh dibeli,” kata Kawasaki.