Porsche memperkenalkan varian tertinggi dalam barisan Panamera generasi ketiga (G3) iaitu Panamera Turbo S E-Hybrid.
Apa yang mengagumkan, ia merupakan Panamera yang paling berkuasa pernah dihasilkan Porsche dan juga model enjin pembakaran dalaman kedua paling power dari syarikat itu selepas 918 Spyder.
Di bawah bonet Panamera Turbo S E-Hybrid adalah enjin 4.0 liter V8 biturbo yang menghasilkan output 591hp dan 850Nm.
Apabila digandingkan dengan sebuah motor elektrik yang diletakkan di dalam perumah transmisi, kuasa dan tork melonjak kepada 771hp dan 1,000Nm, iaitu 100 hp lebih tinggi berbanding model terdahulu.
Hasilnya, sedan berprestasi tinggi ini boleh memecut dari 0-100kmj dalam 2.9 saat iaitu 0.5 saat lebih pantas berbanding sebelum ini. Kelajuan maksimum pula meningkat dari 300 kmj kepada 325 kmj.
Selain lebih berkuasa dan laju, Panamera Turbo S E-Hybrid baharu juga lebih cekap tenaga. Dengan bateri 25.9kWj (45 peratus lebih besar berbanding sebelum ini), ia boleh dipandu sejauh 88km dengan kuasa elektrik sahaja.
Bateri berkenaan mengambil masa kira-kira 2 jam 39 minit untuk pengecasan penuh menggunakan pengecas AC 11 kW yang disertakan.
Sebagai varian tertinggi, model ini didatangkan dengan senarai kelengkapan terbaik. Ini termasuk suspensi Porsche Active Ride, rim tempaan berukuran 21 inci, sistem brek seramik PCCB dan sistem stereng roda belakang.
Jika itu tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan Carbon Aerokit yang boleh meningkatkan downforce sebanyak 60 kg pada kelajuan 200kmj, serta tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang menawarkan tahap cengkaman lebih tinggi.
Bagi mereka yang ragu-ragu dengan prestasi Panamera Turbo S E-Hybrid, model ini telah pun menunjukkan kehebatannya dalam dunia sebenar apabila memecahkan rekod sedan eksekutif di Nurburging dengan catatan masa 7 minit 24.17 saat.