Pemandu Perodua Alza langgar pejalan kaki hingga maut direman hari ini

168

Polis akan memohon perintah reman terhadap pemandu Perodua Alza yang disyaki terlibat dalam insiden langgar lari hingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki di Johor Bahru, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek lelaki berusia 30-an itu menyerah diri petang semalam dan akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapatkan perintah reman.

“Siasatan kes juga dipinda kepada Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan,” katanya semalam.



Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah manakala keputusan ujian saringan pernafasan pula negatif alkohol.

Semalam, polis giat mengesan pemandu Perodua Alza kerana disyaki terlibat kes langgar lari seorang pejalan kaki di KM0.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) menghala ke Johor Bahru.

Kejadian sekitar jam 4.30 pagi itu menyebabkan pejalan kaki tersebut mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, pemandu Perodua Alza tersebut tidak berhenti dan melarikan diri selepas kemalangan berlaku.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here