Honda Civic Si versi facelift lebih garang, lebih lincah di selekoh

284

Honda memperkenalkan Civic Si facelift untuk pasaran Amerika Syarikat yang mana ia mendapat reka bentuk lebih segar, aspek dinamik yang dipertingkatkan dan lebih banyak ciri standard.

Untuk model 2025, Civic Si tampil dengan ‘wajah’ lebih agresif, corak heksagon pada gril dan kemasan gelap pada lampu belakang. Penampilannya dilengkapkan dengan rim aloi V-spoke berukuran 18 inci berwarna hitam matte.



Sebagai varian sporty, ia juga dilengkapi dengan spoiler depan dan belakang yang dikatakan mampu memberikan kelebihan dari segi aerodinamik berbanding varian standard.

Civic Si kini boleh didapati dalam warna baharu Urban Gray Pearl, yang terbukti popular dengan model-model Honda yang lain seperti Accord dan CR-V.

Rekaan ruang dalaman dikekalkan namun untuk versi facelift ini, ia mendapat paparan instrumen digital 10.2 inci, port USB-C baharu dan pemanas tempat duduk. Paparan berkenaan mempunyai perisian Google dan juga lampu isyarat menukar gear.

Ciri-ciri standard lain yang disertakan termasuk skrin sentuh sembilan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, tolok boost turbo dan daya G, pedal sport, jahitan merah, bumbung suria dan sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara, teknologi Bose Centerpoint 2 dan pemprosesan isyarat digital SurroundStage.

Enjin 1.5 liter VTEC Turbo dikekalkan standard namun untuk memberikan pengendalian yang lebih lincah, Honda menambah sokongan pada bahagian bawah tiang B dan ambang pintu. Ini dipadankan dengan peredam suspensi yang ditala semula.

Bukan itu sahaja, Honda turut menawarkan tayar musim panas untuk yang mahukan tahap cengkaman lebih tinggi.

Tidak termasuk Civic Type R, Civic Si adalah satu-satunya varian Civic yang didatangkan dengan transmisi manual. Ia ditugaskan untuk menyalurkan kuasa 200hp dan tork 260Nm ke roda depan menerusi Limited-Slip Differential.

Transmisi itu kini ditambah baik dengan sistem pemadanan rev apabila gear diturunkan dari gear 2 ke gear 1, dengan respon yang cukup pantas iaitu 430 milisaat.

Harga jualan Civic Si (2025) bermula dari USD31,045 (RM145,158) atau USD31,345 (RM146,561) jika pelanggan memilih tayar musim panas.

GALERI

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here