Isuzu D-Max Mudmaster model edisi istimewa yang sarat aksesori off-road

288


Pasaran trak pikap di United Kingdom tidak begitu besar namun ini tidak menghalang Isuzu UK daripada memperkenalkan satu lagi model edisi istimewa D-Max.

Dikenali sebagai Mudmaster, ia tampil dengan pelbagai jenis aksesori bagi meningkatkan kemampuan D-Max untuk menghadapi cabaran off-road.





Pertama sekali, D-Max Mudmaster didatangkan dengan snorkel jenama ARB bagi membolehkan ia meredah air lebih dalam, kanopi belakang untuk ruang kargo yang lebih luas, rak bumbung dan lampu tambahan pada gril dan bumbung.

Selain itu, gabungan sistem suspensi Pedders dan rim aloi Hurricane berukuran 20 inci yang dibalut tayar Toyo Open Country A/T III meningkatkan ketinggiannya sebanyak 45mm.

Turut disertakan adalah perlindungan tambahan pada bahagian badan, plat keluli pada bahagian bawah, visor angin dan set pelekat Mudmaster untuk penampilan yang lebih unik.

Tersembunyi di sebalik nombor plat pada bampar depan adalah takal untuk digunakan dalam misi penyelamatan atau bantuan semasa pemanduan off-road.

Sementara itu, penambahbaikan pada ruang dalaman terhad kepada scuff plate bercahaya, karpet getah dan sarung kerusi tugas berat bagi memastikan kabin sentiasa berada dalam keadaan tip top.

D-Max Mudmaster adalah berasaskan varian V-Cross dengan enjin turbo diesel 1.9 liter empat silinder yang menghamburkan kuasa 162hp dan tork 360Nm. Ia boleh didapati dengan transmisi automatik atau manual enam kelajuan dengan pacuan 4WD.

Seperti yang dilihat, ia dibangunkan menggunakan model lama memandangkan model facelift masih belum dilancarkan di UK. Mungkinkah ini penawaran terakhir D-Max sebelum versi terbaru dilancarkan?.

D-Max Mudmaster dijual pada harga bermula dari GBP36,495 (RM220,397) untuk versi manual dan GBP38,495 (RM232,475) untuk automatik.

GALERI



APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here