Kerjasama Chery dengan Projek Belia Mahir: Sedia peluang pekerjaan, gaji minimun RM2,000

129

Chery Corporate Malaysia mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Projek Belia Mahir, sebuah platform badan bukan kerajaan, Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran.

Kerjasama itu untuk merapatkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan bagi pekerja mahir, menawarkan peralihan yang lebih lancar dari tamat pengajian hingga memasuki alam bekerja yang lebih bermanfaat dalam industri automotif.

Inisiatif itu bukan sahaja akan menjamin laluan kerjaya yang lebih terancang bagi graduan, tetapi juga akan memperkasakan mereka untuk mengaplikasi dan meningkatkan kemahiran mereka dalam sektor automotif Malaysia.



Projek Belia Mahir menggerakkan usaha membantu golongan belia yang tidak bekerja, tidak dalam pendidikan atau latihan (NEET) untuk mendapatkan peluang untuk meneruskan pendidikan dan latihan kemahiran dengan kolaborasi institusi pengajian tinggi dan institusi latihan kemahiran.

Selain itu, Projek Belia Mahir juga turut berperanan membantu kumpulan sasar berkenaan bagi penempatan pekerjaan di dalam pelbagai sektor industri.

Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen (Dua dari kanan) berkata, dengan adanya kilang pemasangan kenderaan Chery di Shah Alam, Selangor yang dilancarkan pada Jun, pihaknya berhasrat untuk membina tenaga kerja professional yang berkemahiran tinggi untuk mengekalkan komitmen dalam menyediakan kenderaan dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan.

“Dengan memperkasakan bakat tempatan dan memupuk kerjasama, kami bukan sahaja menyokong matlamat peralihan industri dan tenaga Malaysia, tetapi menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri automotif di negara,” katanya.

MoU itu ditukar dengan Projek Belia Mahir dan diterima oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara semasa Majlis Pelepasan Peserta Program Inisiatif Institut Malaysia-China (MCI).

Selepas menamatkan program latihan dan pendidikan, graduan yang disyorkan oleh pihak Projek Belia Mahir akan diberi peluang untuk bekerja bersama Chery.

Graduan yang terpilih berpeluang untuk menyumbang kepada jenama pengeksport
kenderaan terbesar China dan memperoleh pengalaman yang tidak ternilai dalam industri automotif.

Graduan yang layak juga akan menerima pendapatan minimum bulanan yang kompetitif sebanyak RM2,000, termasuk faedah kakitangan yang komprehensif.

Kerjasama antara Projek Belia Mahir dan Chery Corporate Malaysia merupakan langkah penting ke arah merapatkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan bagi belia Malaysia, memastikan tenaga kerja yang mahir bersedia untuk maju dalam sektor automotif.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here