Honda Integra pasaran China rupanya Civic dengan wajah berbeza

270

Bagi yang tidak tahu, Honda Integra sebenarnya masih ‘hidup’ dan boleh didapati di China namun ia bukanlah kereta sport seperti yang anda sangkakan.

Integra yang dimaksudkan itu dibangunkan oleh pakatan GAC-Honda dan dilancarkan pada 2021 sebagai alternatif kepada Civic yang dikeluarkan oleh Dongfeng-Honda untuk pasaran negara itu.



Ini bermakna ia menggunakan platform, bentuk badan dan ruang dalaman yang sama dengan Civic cuma reka bentuk bahagian depan dan belakangnya sedikit berlainan.

Untuk tahun 2024, GAC-Honda menawarkan model edisi terhad Integra yang dikenali sebagai Anniversary Special Limited Edition.

Tiada sebarang kuasa tambahan mahupun kit badan atau rim yang sporty namun model itu tampil lebih menonjol dengan grafik ‘Limited Edition’ pada pintu, jalur merah pada bahagian badan, bumbung dan bonet serta cermin sisi berwarna merah.

Seperti yang boleh dilihat, rona garang itu turut digunakan secara meluas pada panel pintu dan papan pemuka. Ia kemudian mendapat warna kontra hitam pada tempat duduk dan bahagian atas papan pemuka.

Tidak cukup dengan itu, pembeli juga akan mendapat pelbagai aksesori berjenama Integra seperti beg pakaian, beg galas dan botol air.

Model Anniversary Special Limited Edition ini ditawarkan untuk kedua-dua pilihan enjin yang ada untuk Integra iaitu 1.5 liter VTEC Turbo atau hibrid 2.0 liter e:HEV.

Varian Turbo boleh didapati dengan transmisi CVT atau 6-kelajuan manual, manakala e:HEV ditawarkan dengan CVT sahaja.

Tempahan model itu sudahpun dibuka dengan harga tambahan sebanyak CNY1,688 (RM1,076) berbanding Integra yang dijual pada harga antara CNY 129,000 hingga CNY 186,900 (RM82,289 hingga RM119,228).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here