Volkswagen Golf Mk8 ICE mungkin kekal dijual sehingga 2035

226

Volkswagen Golf generasi kelapan (Mk8) kemungkinan akan menjadi generasi Golf kedua paling lama wujud di pasaran selepas Golf Mk1, dengan tempoh produksi mampu mencecah sehingga 16 tahun.

Ini kerana terdapat kemungkinan Volkswagen akan memanjangkan tempoh produksi model berkuasa petrol tersebut sehingga 2035.

Bercakap kepada Top Gear Netherlands, bos teknikal VW, Kai Grunitz mendedahkan Golf Mk8 akan terus dijual sehinggalah larangan jualan kenderaan petrol dan diesel baharu oleh Kesatuan Eropah (EU) berkuatkuasa.



Sebelum ini, Volkswagen merancang untuk memperkenalkan Golf versi elektrik pada 2029, diikuti versi prestasi tinggi Golf GTI EV pada tahun berikutnya.

Jelasnya lagi, pelaksanaan undang-undang keselamatan yang lebih ketat juga akan membuatkan kos pembangunan Golf berkuasa petrol serba baharu menjadi lebih mahal, menjadikannya sukar untuk direalisasikan dan adalah lebih masuk akal untuk memanjangkan tempoh hayat model sedia ada.

Grunitz menambah, platform MQB yang diguna pakai oleh Golf masa kini telah pun sedia baik, jadi tiada sebarang keperluan untuk melabur dalam versi baharu bagi menggantikan Golf Mk8 petrol dan diesel yang ditawarkan di seluruh dunia.

Volkswagen Golf Mk8 dilancarkan secara rasmi pada 2019 bagi menggantikan Golf Mk7 yang telah wujud di pasaran dalam tempoh lapan tahun sejak tahun 2012 lagi.

Golf Mk1 pula merupakan generasi Golf yang paling lama dikeluarkan iaitu selama 34 tahun.

Ini kerana selepas Golf Mk1 digantikan dengan Golf Mk2 pada 1983, generasi pertama itu terus diproduksi di Afrika Selatan sebagai model Citi Golf dari 1984 hingga 2009!.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here