Pada 2 Ogos yang lalu, Mercedes-Benz diberikan kebenaran untuk mengendalikan ujian pemanduan autonomi Tahap 4 (SAE Level 4) di Beijing, China.
Sebelum ini, Mercedes-Benz turut mendapat kebenaran untuk membuat ujian pemanduan autonomi Tahap 3 (Level 3) di Beijing pada akhir tahun 2023.
Berbanding Tahap 3, sistem Tahap 4 itu disifatkan sebagai sistem pemanduan autonomi penuh tanpa memerlukan ‘campur tangan’ manusia, namun pemandu boleh mengambilalih sistem apabila diperlukan.
Untuk ujian terbaharu, dua buah Mercedes-Benz S-Class akan digunakan sebagai kenderaan ujian, dilengkapi dengan pelbagai jenis penderia termasuklah LIDAR, radar gelombang milimeter dan juga kamera.
Mercedes-Benz akan memfokuskan kepada beberapa aspek bagi membolehkan sistem pemanduan autonomi dapat disesuaikan dengan infrastruktur jalan raya China seperti papan tanda, kawasan pembinaan, laluan bas serta pengoptimuman algoritma.
Beijing kini mempunyai zon pengujian sistem pemanduan autonomi L4 yang ‘dihuni’ oleh kenderaan tanpa pemandu seperti kenderaan penghantar barang, bas, kereta peronda, pembersih jalan dan lebih daripada 800 kereta swapandu untuk pelbagai senario dunia sebenar.
Sejak dibuka pada September 2020, terdapat lebih 20 syarikat melakukan ujian dalam zon ini termasuklah Baidu, BAIC, Didi, WeRide dan juga Foton.