Lelaki tolak isteri dalam gaung direman tujuh hari

151

Lelaki yang ditahan selepas disyaki memukul, mencekik dan menolak isterinya ke dalam gaung di KM31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada 27 Julai lalu direman tujuh hari.

Perintah tahanan reman sehingga Isnin depan itu dibenarkan oleh Majistret, Savinder Singh terhadap suspek yang bekerja sebagai peniaga.



Permohonan reman itu dibenarkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

Terdahulu, lelaki berusia 39 tahun itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Gerik pada Selasa dengan memakai baju T berlengan panjang diiringi pegawai dan anggota polis pada jam 8.50 pagi.

Difahamkan, suspek yang sebelum ini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah, Rabu lalu direman selama enam hari untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas disyaki mencederakan abang kandungnya.

Suspek ditangkap semula oleh IPD Gerik selepas tempoh tahanan remannya itu berakhir pada Isnin.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan suspek ditahan polis selepas disyaki memukul, mencekik dan menolak isterinya ke dalam gaung selepas berlaku pertengkaran mulut.

Mangsa berusia 32 tahun terjatuh gaung sedalam 10 meter berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak naik ke bahu jalan sebelum dijumpai orang awam sekitar jam 2 petang.

Akibat kejadian itu, difahamkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan telah menerima rawatan di Hospital Taiping.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here