VW Transporter T7 (2025) kini guna platform Ford

192

Divisyen kenderaan komersial Volkswagen memperlihatkan generasi baharu minivan Transporter sebagai pelengkap kepada model Multivan T7 dan van elektrik ID. Buzz.

Tidak seperti Multivan T7 yang dibina berdasarkan platform MQB Volkswagen, model Transporter T7 pula dibangun berdasarkan platform Ford Transit Custom.

Namun begitu, para pereka VW tetap menjalankan tugas dengan menampilkan elemen rekaan yang diinspirasikan daripada ID. Buzz dan Multivan pada model Transporter T7 ini, seperti contoh muka depan yang direka semula diikuti dengan lampu LED belakang acah VW Amarok.



VW menawarkan Transporter T7 ini dalam versi van panel, van panel plus (dengan tambahan tempat duduk baris kedua), kabin kru, serta opsyen van penumpang Caravelle dengan konfigurasi sembilan tempat duduk.

Dari segi ukuran, Transporter T7 membawakan dimensi sepanjang 5,050 mm serta jarak antara roda sepanjang 3,100 mm yang menyediakan ruang kargo sebesar 5,800 liter.

Terdapat juga versi bumbung tinggi serta dimensi jarak antara roda yang lebih panjang (sehingga 3,500 mm) untuk mereka yang mementingkan ruang kargo yang lebih besar (sehingga 9,000 liter).

Susun atur ruang kabin pula mengekalkan elemen rekaan yang dibawa dari model Ford yang mana secara standard terdapat skrin kluster digital 12 inci, skrin infohibur 13 inci, serta beberapa ruang storan yang praktikal.

VW turut memperlihatkan trim PanAmericana untuk van panel Transporter yang boleh dibezakan dengan kehadiran bampar, fender dan pelindung gerbang roda yang tidak bercat, rim aloi Indianapolis 19 inci, kemasan dalaman hitam berkilat serta balutan fabrik khas pada ruang kabin.

Penggunaan platform daripada Ford membolehkan Transporter T7 ini tersedia dalam versi enjin diesel 2.0 liter turbo, enjin petrol 2.5 liter plug-in hybrid dan versi elektrik sepenuh masa berkuasa.

Transporter T7 EV didatangkan dengan motor elektrik pacuan roda belakang (RWD) dengan tiga output kuasa yang berbeza, iaitu 134 hp, 215 hp dan 281 hp.

Versi PHEV dibekalkan dengan pek bateri lithium-ion berkapasiti 16.5 kWh, sementara versi EV pula hadir dengan bateri 64 kWh.

Harga jualan VW Transporter T7 bermula dari EUR36,780 (RM179,454) untuk versi van panel, sementara harga untuk van penumpang Caravelle masih lagi belum diumumkan.

Dengan kehadiran model generasi baharu Transporter T7, mungkin tidak lama lagi kita akan dapat melihat contoh binaan campervan yang bakal disajikan khusus kepada para peminat aktiviti outdoor.

GALERI

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here