Utama Berita Automotif Penganalisi : Pasaran minyak dijangka tidak menentu dalam tempoh terdekat

Penganalisi : Pasaran minyak dijangka tidak menentu dalam tempoh terdekat

149
Para penganalisis menjangkakan pasaran minyak kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat ini dipengaruhi beberapa faktor seperti jangkaan kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah (Asia Barat).
 
Harga minyak memulakan dagangan pada minggu ini dengan jatuh sehingga serendah USD75 pada Isnin (5 Julai), harga terendah sejak Disember 2023 sebelum melantun semula pada hari berikutnya.
 
Hari ini, penanda aras minyak Brent meningkat 0.27 peratus kepada USD76.69 setong manakala West Texas Intermediate naik 0.37 peratus kepada USD73.47 setong.
 
Harga minyak menjunam minggu lalu apabila kebimbangan terhadap kemelesetan di Amerika Syarikat mula memuncak dan sebelumnya para pelabur menjual pegangan petroleum mereka.
 
Bagaimanapun, kemungkinan gangguan bekalan di Asia Barat membantu mengekalkan harga daripada terus jatuh.

TURUN NAIK PASARAN MINYAK DIJANGKA BERTERUSAN

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata walaupun berlaku banyak ketegangan seperti serangan pejuang Houthi ke atas rantaian bekalan minyak, namun pengeluaran minyak tidak mengalami gangguan besar.
 
Justeru, turun naik pasaran minyak dijangka berterusan.
 
“Memandangkan risiko pilihan raya AS, kita hanya boleh melihat sehingga sejauh bulan November.
 
“Bagaimanapun, apa juga keputusannya akan memberi kesan kepada harga minyak. Keadaan turun naik itu kebanyakannya adalah risiko politik Asia Barat. Tanpanya, harga minyak mungkin USD3.00 lebih rendah,” katanya.
 
Pilihan raya presiden AS akan diadakan pada 5 November, dan ia boleh memberi kesan kepada masa depan industri minyak dan gas negara itu dengan potensi perubahan dalam rangka kerja dasar dan kawal selia.
 
Ketegangan di Asia Barat yang terus meruncing baru-baru ini, termasuk pembunuhan pemimpin Hizbullah dan Hamas, hanya mencetuskan kebimbangan penularan konflik serantau dengan ketara.
 
Pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dan ancaman serangan balas Iran, hanya menunjukkan potensi ketegangan itu akan terus berleluasa.
 
Ini berikutan sebarang peningkatan ketegangan serantau itu akan memberi implikasi geopolitik, termasuk impak ke atas pasaran minyak global.
 
Dalam konteks ini, kemenangan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dalam pilihan raya dengan memperoleh 51 peratus undian, walaupun tinjauan awal lebih berpihak kepada saingannya Edmundo Gonzalez, hanya merumitkan lagi keadaan.
 
Lanjutan pemerintahannya sebagai presiden, boleh mempengaruhi pengeluaran minyak Venezuela dan seterusnya ke atas bekalan minyak global, sekali gus seiringan dengan dinamik ketidaktentuan di Asia Barat


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here