Lynx DeLorean DMC-EV, projek restomod EV dengan tag harga RM1.1 juta

200

Lynx Motor, syarikat modifikasi automotif yang berpangkalan di Arizona mendedahkan projek restomod elektrik yang dikenali sebagai DeLorean DMC-EV.

Menggunakan DeLorean DMC-12 sebagai asas, ia masih lagi mengekalkan struktur binaan keseluruhan model asal. 

Antara perubahan yang dilakukan adalah unit lampu LED yang lebih moden, kit badan sporty dan bahagian ekor yang nampak seperti struktur kaca besar yang menjadi perumah kepada lampu belakang.



Bagaimanapun, projek restomod ini tidak mengekalkan susun atur ruang kabin yang asal.

Sebaliknya, ia didatangkan dengan rekaan baharu sepenuhnya dengan roda stereng gentian karbon yang disumberkan daripada Tesla, skrin melintang penuh, serta konsol tengah yang mempunyai kawalan rotari dan pengecas peranti pintar tanpa wayar.

Panel pintu juga telah dikemaskini diikuti dengan tempat duduk balutan kulit dengan saiz bolster yang lebih mesra penumpang.

Lynx Motor memadankan empat motor elektrik – satu untuk setiap roda – yang menawarkan pacuan semua roda, dengan pecutan 0-100kmj dalam masa kurang 4 saat.

Pek bateri CATL berkapasiti 70kWh pula menjanjikan jarak pemanduan sejauh 402km untuk sekali cas penuh.

Syarikat itu juga turut menjanjikan ciri keselamatan termasuklah perlindungan impak sisi dan kawalan cengkaman pada model DMC-EV ini.

Harga jualan tidak murah, DMC-EV bermula dari USD249,999 (RM1.1 juta) yang mana pembeli yang berminat boleh meletakkan wang deposit sebanyak USD2,500 (RM11,000).

Penghantaran pula akan dibuat bermula tahun 2025.

GALERI

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here