Pakar : Tingkatkan had umur minimum menunggang kepada 19 tahun

126

Kempen kesedaran jalan raya tidak akan berkesan jika tidak disokong dengan tindakan konkrit seperti peningkatan penguatkuasaan undang-undang, pemisahan laluan motosikal dan pengurangan pendedahan penunggang muda.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata kadar kemalangan mencecah 600,000 kes tahun lalu serta peningkatan kematian penunggang motosikal daripada 60 peratus kepada 75 peratus amat memerlukan tindakan dan langkah yang berkesan bagi mengatasi trend ini.



“Kita perlu mengurangkan pendedahan dan penggunaan motosikal terutama dalam kalangan remaja dengan menaikkan umur minimum menunggang motosikal daripada 16 kepada 19 tahun.

“Perubahan dasar ini bertujuan mengurangkan bilangan penunggang muda yang kurang berpengalaman di jalan raya, seterusnya mengurangkan pendedahan mereka kepada risiko dan akhirnya menurunkan bilangan kematian dalam demografi ini,” katanya.

PISAHKAN MOTOSIKAL DENGAN KENDERAAN LAIN

Salah satu langkah paling berkesan adalah memisahkan motosikal daripada kenderaan secara fizikal bagi mengurangkan kemungkinan perlanggaran antara motosikal dan kenderaan lebih besar.

“Cadangan saya, membina lebih banyak lorong motosikal khusus di kawasan kritikal contohnya konsep Lorong Motosikal Biru yang berjaya dilaksanakan di Sao Paulo, Brazil.

“Inisiatif ini telah mengurangkan kemalangan dan kecederaan motosikal dengan ketara dengan menyediakan ruang selamat yang khusus untuk penunggang motosikal serta mengelakkan konflik dengan pengguna jalan raya lain,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai mengenai kempen kesedaran jalan raya kurang berkesan antara punca kemalangan jalan raya termasuk kematian 12 penunggang motosikal sehari.

BANGUNKAN SISTEM PENGUATKUASAAN TRAFIK PINTAR

Mengulas lanjut, Law berkata, kerajaan juga boleh membangunkan sistem penguatkuasaan trafik pintar dan pengesanan insiden canggih dan maju.

“Penguatkuasaan undang-undang trafik yang berkesan dan tindak balas cepat terhadap insiden jalan raya penting untuk mengurangkan kematian motosikal, malah teknologi canggih boleh meningkatkan usaha ini.

“Contohnya, Sistem Pengesanan Insiden Jalan Raya Automatik (ARIDS) yang dibangunkan Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya di UPM, menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memantau keadaan jalan raya 24 jam sehari.

“Sistem ini boleh mengesan insiden jalan raya secara masa nyata dan automatik memaklumkan pihak berkuasa keselamatan jalan raya melalui platform media sosial seperti WhatsApp.

“Dengan meningkatkan kelajuan dan ketepatan pengesanan insiden, pihak berkuasa boleh bertindak lebih cepat, berpotensi menyelamatkan nyawa dan mencegah kemalangan lanjut,” katanya.

Beliau percaya, langkah tersebut apabila dilaksanakan dengan berkesan, bukan hanya boleh membantu membalikkan trend peningkatan kematian motosikal, malah mewujudkan jalan raya lebih selamat untuk semua pengguna kenderaan.

“Program kesedaran keselamatan jalan raya memang penting mendidik pengguna, tetapi tidak akan berkesan jika tidak disertai dengan langkah berkenaan yang dilaksanakan secara serentak, menyeluruh dan bersepadu.

“Tanpa pelaksanaan langkah ini, kempen kesedaran mungkin tidak mencapai matlamatnya untuk mengurangkan jumlah kemalangan mencecah 600,000 kes tahun lalu,” katanya.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here