Polis kesan 7 kes seludup dadah guna dron ke penjara

70

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan tujuh kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron ke dalam penjara seluruh negara, sepanjang tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata kes dilaporkan berlaku di Kedah, Perak, Melaka, Kelantan dan Sarawak serta kes terbaharu melibatkan Penjara Tapah, Perak.



“Antara dadah cuba diseludup masuk dan berjaya dirampas ialah ganja, heroin, syabu, ketamin dan pil yaba dengan keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 632.88g.

“Penggunaan dron untuk menyeludup masuk dadah bukan kes baharu sebaliknya pernah dilaporkan berlaku di Johor pada 2020,” katanya.

Dalam kes itu, seorang lelaki warga Singapura ditahan kerana kesalahan mengedar dadah menggunakan dron ke Singapura melibatkan rampasan 13.6g syabu, pil ekstasi (11.83 g) dan heroin (2.5 g).

Tambah beliau, belum ada tangkapan dilakukan untuk semua kes setakat ini dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Media sebelum ini melaporkan satu cubaan menyeludup dadah dengan menggunakan dron dikesan cuba diterbangkan masuk ke dalam Penjara Tapah.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, dilaporkan berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 5 petang, Jumaat lalu daripada seorang kakitangan penjara yang menemui dron berwarna putih di bumbung sebuah blok penjara.

Dron berkenaan dijumpai semasa kakitangan bersama anggota lain membuat rondaan jam 11.30 pagi hari tersebut. 

Dalam pada itu, Kok Chin berkata, pihak JSJN menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung taktik berkenaan termasuk mengesan pelaku.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket disyaki menggunakan dron bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat penyalahgunaan teknologi itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here