Chery OMODA 5 menerima penarafan lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu ASEAN NCAP mengikut protokol 2021-2025.
Model yang diuji merupakan varian H tahun 2024 untuk pasaran tempatan. Penarafan yang sama turut terpakai ke atas varian OMODA 5 yang dipasang di Malaysia untuk pasaran Brunei, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Chery OMODA 5 merupakan merupakan model pertama di bawah jenama berkenaan yang menjalani ujian ASEAN NCAP.
Secara keseluruhan, OMODA 5 mendapat skor sebanyak 88.64 merangkumi :
- Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) : 36.77/40.00
- Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) : 17.36/20.00
- Bantuan Keselamatan (SA) : 19.51/20.00
- Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) : 15.00/20.00
SUV berkenaan menerima markah tertinggi bagi perlindungan pejalan kaki yang merupakan aspek kritikal penilaian ASEAN NCAP.
Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew Chery berkata skor tinggi OMODA 5 merentasi empat kategori mewakili pendekatan komprehensif syarikat terhadap keselamatan dan dedikasi untuk penambahbaikan berterusan.
“Mencapai penarafan keselamatan ASEAN NCAP adalah bukti komitmen berterusan kami untuk keselamatan, inovasi dan yang paling penting kepada pelanggan kami.
“Penarafan ini bukan sekadar lencana penghormatan, ia adalah janji kepada pelanggan bahawa OMODA 5 kami dibina dengan mengambil kira keselamatan pengguna sebagai
keutamaan tertinggi,” katanya.
OMODA 5 didatangkan dengan enam beg udara dengan ciri keselamatan standard Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Agihan Tekanan Brek Elektronik (EBD), Sistem Bantuan Brek (BA) dan Sistem Ambil Alih Brek (BOS), Program Kestabilan Elekronik (ESP) dan Kawalan Traksi (TCS), Bantuan Penghidup Bukit (HAC), Sistem Pemantauan Angin Tayar (TPMS) dan Kawalan Turun Bukit (HDC).