Mungkin tidak ramai yang tahu kewujudan jenama automotif Korea Selatan, iaitu KG Mobility.
KG Mobility (KGM) bukanlah sebuah syarikat automotif baharu, sebaliknya ia dijenamakan semula daripada SsangYong setelah pengambilalihan jenama itu oleh konglomerat KG Group pada 2023.
Ketika ini, KG Mobility menawarkan barisan model SUV seperti Rexton, Tivoli, Korando, Torres, serta SUV generasi baharu Actyon.
Tidak seperti model terdahulu, Actyon membawakan reka bentuk jauh lebih moden, seperti contoh lampu DRL yang bergaya, rekaan bampar ala Dynamic Shield Mitsubishi, serta bahagian belakang yang diinspirasikan daripada Range Rover Velar.
Dari segi ukuran, Actyon memiliki panjang 4,740 mm, lebar (1,920 mm), tinggi (1,680 mm) dan jarak antara roda 2,680 mm.
Bermakna, Actyon (2024) jauh lebih besar, lebar, rendah namun dengan jarak roda yang lebih pendek berbanding model SsangYong Actyon yang asal.
Menariknya, kesemua versi Actyon ini dipasangkan dengan rim standard bersaiz 20 inci.
Masuk ke dalam kabin, anda akan disambut dengan skrin berkembar 12.3 inci dengan skrin tengah yang sengaja diposisikan ke arah pemandu.
Ciri lain termasuklah roda stereng jenis bawah rata, sistem pencahayaan ambien 32 warna, pad pengecas peranti pintar, kemasan upholsteri kulit dengan pilihan warna dua tona hitam/merah atau Camel/Beige, serta aksen kayu hitam atau gentian karbon.
Ruang kargo pula sebesar 668 liter dan mampu mencapai sehingga 1,568 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Berkongsi platform yang sama dengan KGM Torres, KGM Actyon turut dibekalkan dengan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo berkuasa 168hp dan 280Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik 6-kelajuan serta pilihan pacuan roda depan atau semua roda.
Di Korea, KGM Actyon dijual pada harga bermula dari KRW33.95 juta (RM109,790).