Khidmat motosikal tambang dimonopoli warga Thailand

229

Lebih 100 motosikal tambang dari negara jiran bebas mencari penumpang di depan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang hingga menjejaskan pengusaha motosikal tambang negara ini.

Gambar hiasan

Tinjauan sekitar Rantau Panjang terutama berdekatan ICQS mendapati puluhan pengusaha motosikal tambang negara jiran bebas menunggu dan mengambil penumpang sama ada mereka turun dari bas dan roktu.

Mereka kemudian masuk ke negara jiran dengan motosikal tambang berkenaan menyebabkan pengusaha motosikal tambang tempatan tidak dapat cari makan.



Perkara itu menjejaskan pendapatan 80 pengusaha motosikal tambang tempatan apabila mereka hanya memperoleh dua penumpang sehari atau tiada langsung.

HANYA 45 PENGUSAHA AKTIF

Gambar hiasan

Pengerusi Motosikal Tambang Pohon Tanjung, Wan Zain Wan Haron, 60, berkata kehadiran lebih 100 motosikal tambang dari negara jiran menyebabkan pendapatan pengusaha motosikal tambang negara ini terjejas.

Katanya, terdapat 80 pengusaha motosikal tambang tempatan, namun hanya 45 sahaja yang masih aktif susulan kecewa kerana tidak dapat cari makan.

“Ini kerana pengusaha dari negara jiran mengambil penumpang yang sepatutnya menggunakan perkhidmatan kami dari Rantau Panjang ke Golok.

“Sepatutnya penumpang yang turun dari roktu, bas dan kenderaan lain menaiki motosikal kami dari Rantau Panjang untuk ke Golok, namun disebabkan terlalu banyak motosikal tambang negara jiran, jadi mereka pilih naik motosikal berkenaan.

“Mereka ini diakui mempunyai cukup dokumen, namun mereka seolah-olah mencuri penumpang kami,” katanya.

HANYA DAPAT DUA PENUMPANG 

Gambar hiasan

Bapa dua anak yang berpengalaman lebih 30 tahun mengusahakan motosikal tambang berkata, jika hari biasa dia hanya dapat paling ramai dua penumpang sahaja dan ada masa langsung tidak dapat penumpang.

Katanya, bayaran yang dikenakan untuk penumpang dari Rantau Panjang ke jambatan Sungai Golok antara RM5 hingga RM7 seorang sahaja.

“Bayangkan kami hanya dapat dua penumpang sehari jadi dapatlah antara RM10 hingga RM14 sehari. Nak buat belanja dapur pun tidak lepas. Namun, kami tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membuat kerja ini untuk memastikan kelangsungan hidup,” katanya.

Pengusaha motosikal tambang, Abdul Aziz Sulaiman, 69, yang berpengalaman lebih 10 tahun berkata, disebabkan terlalu ramai pengusaha motosikal tambang negara jiran menyebabkan mereka susah cari makan.

“Jika penumpang daripada bas dan roktu turun, mereka dulu yang dapat penumpang kerana lokasi mereka tunggu sangat strategik sedangkan kami tunggu di tempat yang sukar dapat penumpang.

“Namun, kami tidak ada pilihan dan meneruskan pekerjaan ini. Kami harap pihak berkuasa sentiasa membuat pemantauan berikutan pengusaha motosikal tambang dari negara jiran ini seolah-olah makin bertambah.

“Jika mereka tidak cukup dokumen, kita harap pihak pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here