Korea Selatan bakal memperkenalkan peraturan baharu bagi pemilik kenderaan elektrik (EV) susulan kes kebakaran melibatkan model berkenaan beberapa minggu lalu.
Laporan Korea JoongAng Daily menyatakan Kerajaan Metropolitan Seoul menasihatkan pemilik EV tidak meletakkan kenderaan mereka di parkir bawah tanah sekiranya bateri lebih daripada 90 peratus pengecasan.
Bahkan, pihak berkenaan juga akan menjalankan projek perintis mengehadkan pengecasan pantas sehingga 80 peratus di kawasan awam dan ia bakal diluaskan ke pengendali swasta.
Pemilik EV di rantau tersebut mempersoalkan signifikan peraturan yang bakal dilaksanakan pada hujung September itu. Ini kerana kes Mercedes-Benz EQE yang terbakar tidak melibatkan pengecasan bateri atau dicas penuh ketika kebakaran tercetus.
Laporan awal menyatakan 70 kereta lain rosak akibat kebakaran itu, walaupun Korea JoongAng Daily telah menyemak semula angka tersebut kepada 880 kenderaan yang terkesan.
Kebakaran Mercedes-Benz tidak lama kemudian diikuti dengan kebakaran EV lain, kali ini Kia EV6 yang mana sekali lagi berlaku di parkir bawah tanah. Namun, dalam kes EV6, kereta itu sedang dicas ketika kejadian.
TIADA KAITAN DENGAN OPERASI PENGECASAN
Walaupun peraturan baharu itu masih belum dilaksanakan dan dikuatkuasakan, Pakar Sains Tenaga dan Ketua Pusat Penyelidikan Bateri Universiti Sungkyunkwan, Profesor Yoon Won-sub berkata ia tidak ada kaitan antara pengecasan EV dan keamatan kebakaran.
“Pengecasan yang berlebihan bukanlah faktor yang mengawal kebakaran.
“EV dari awal direka untuk tidak pernah mencapai cas penuh, walaupun skrin menunjukkan bateri 100 peratus. Ini adalah hujah yang tidak terbukti bahawa bateri membawa risiko kebakaran yang lebih tinggi apabila dicas sepenuhnya.
“Ia kelihatan seperti ‘pemburuan ahli sihir’ yang menghalang pemilik EV dengan bateri kereta 90 peratus masuk parkir bawah tanah.
“Adalah penting untuk membuat tindakan balas yang sesuai selepas perbincangan menyeluruh dalam kalangan pakar,” katanya.
Beberapa pembuat kereta termasuk Hyundai, Kia, Genesis, BMW dan Mercedes-Benz telah memberikan senarai pembekal bateri masing-masing dalam usaha untuk mengurangkan kebimbangan kebakaran pemilik EV kepada kerajaan Korea Selatan.
EV FireSafe, sebuah syarikat Australia yang mengumpul data kebakaran kenderaan global mendapati terdapat 511 insiden larian terma (thermal runaway) yang dilaporkan dalam EV dan bateri kenderaan plug in hibrid (PHEV) seluruh dunia antara 2010 dan akhir Jun 2024 – tidak termasuk kebakaran Korea Selatan baru-baru ini.