Seorang wanita warga asing disyaki tertimbus bawah tanah mendap dengan kedalaman lebih kurang 10 meter berdekatan Masjid India, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Menurut sumber, wanita yang merupakan pelancong dari India itu terjatuh ketika berjalan kaki di kawasan tersebut sekitar pukul 8 pagi tadi.
Difahamkan, hari ini merupakan hari terakhir mangsa dan keluarganya bercuti di ibu negara sebelum berangkat ke negara asalnya.
Sementara itu, seramai 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) terlibat dalam operasi mencari dan penyelamat (SAR) wanita warga India berusia 48 tahun itu.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 8.23 pagi tadi.
Keluaran pasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa serta bantuan dari BBP Hang Tuah bersama jentera dengan kekuatan 15 anggota lain-lain pangkat sebagai ‘first responder’.
Menurut Komander Operasi PKPgB Mohd Riduan Akhyar, setibanya di lokasi kejadian terdapat mangsa wanita, 48, terjerlus ke dalam lubang dan tertimbus di bawah tanah.
”Kedalaman lubang dianggarkan lapan meter.
“Tindakan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan. Unit STORM dan Unit Pengesan (K9) berada di lokasi kejadian,” katanya.
Tinjauan di lokasi mendapati pasukan penyelamat baru sahaja mengeluarkan kerusi batu yang turut terjatuh ke dalam tanah mendap itu.