Pasukan penyelamat akan mengorek kawasan mendapan yang berlaku akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur menggunakan mesin jengkaut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata langkah itu bagi meluaskan kawasan pencarian wanita warga India yang terjatuh dalam kejadian itu.
Beliau berkata berikutan perluasan kawasan pencarian, pihaknya juga akan menambah anggota JBPM dalam usaha mencari mangsa.
“Kita dah buat carian manual tetapi gagal menjumpai mangsa, dijangka dalam waktu terdekat akan sambung buat korekan lebih luas di tempat mendapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata beliau difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang berjalan kaki dari Selangor Mansion ke arah Lebuh Ampang dan kemudiannya duduk di kerusi konkrit yang turut terjatuh bersamanya.
“Buat masa ini, kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup serta mengambil rakaman keterangan saksi yang berada di lokasi kejadian.
“Tiada maklumat lanjut yang boleh diberikan buat masa ini termasuk kronologi sebenar insiden, sejurus mangsa ditemukan, kita akan kemas kini maklumat,” katanya.