Polis tahan 42 pemandu mabuk termasuk dua wanita di Johor

72

Seramai 42 pemandu mabuk termasuk dua wanita ditahan dalam Op Khas Mabuk yang dijalankan Polis Johor di seluruh negeri bermula Jumaat lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 68 tahun.



“Kesemuanya dibawa ke balai bagi tindakan lanjut yang mana 41 orang di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan seorang lelaki di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. 

“Dalam operasi itu, sebanyak 625 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan seramai 1,824 individu diperiksa. Turut diperiksa sebanyak 1,585 buah kenderaan,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah beliau, kesedaran masyarakat tentang bahaya pengambilan alkohol ketika memandu masih rendah dan sangat membimbangkan kesan alkohol menyumbang kepada kemalangan dan kematian.

“Tiada kompromi terhadap golongan ini dan hukuman berat dan setimpal menunggu jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.

Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bagi Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 serta hilang kelayakan memegang lesen tidak kurang dua tahun.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here