Nissan sebelum ini dikhabarkan tiada rancangan untuk membawa masuk barisan kereta sport Skyline GT-R ke pasaran Amerika Utara.
Namun, dalam satu temubual Jepun Best Car Web, pengeluar itu mendedahkan pernah mempertimbangkan cadangan menjual kereta tersebut di pasaran Amerika Utara.
Pengurus produk model R33/R34, Shozo Watanabe berkata Hanawa Yoshikazu (Presiden Nissan) pada ketika itu, mengarahkan pasukan GT-R mencari peluang menjual kereta sport itu di benua tersebut selepas GT-R R33 membuat kemunculan dalam rancangan Top Gear tahun 1990-an.
“Pasaran Amerika Utara memerlukan model pemanduan sebelah kiri. Sekiranya roda stereng dialihkan ke sebelah kiri, jadi aci stereng akan menjadi lebih dekat dengan unit pengecas turbo, sekaligus menyebabkan masalah haba.
“Terdapat juga idea untuk menjual GT-R dengan turbo tunggal, tapi kami tidak meneruskan idea itu kerana ia tidak akan menjadi sebuah GT-R,” katanya.
Selain itu, Shozo juga mendedahkan generasi berikutnya (R34) pernah dirancang menggunakan nadi V6 berbanding enjin enam silinder sebaris lagenda RB26DETT.
“Bila saya memandunya dalam litar, ia mempunyai karakteristik yang baik di selekoh, dan sangat bagus,” jelasnya kepada Best Car.
Walaupun pada ketika itu Nissan serius mempertimbangkan enjin V6, pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengambil keputusan untuk mengekalkan enjin 6-silinder sebaris bagi memendekkan tempoh masa pembangunan serta menyesuaikan enjin baharu dengan sistem pacuan semua roda GT-R.
“Kami tidak dapat bayangkan Skyline R34 tanpa GT-R, jadi kami berkerja keras ke arah itu. Pada akhirnya, kami membuat keputusan untuk memperhalusi enjin enam silinder GT-R, dan membiarkan enjin V6 untuk generasi berikutnya,” ujarnya.
Untuk makluman, generasi berikutnya yang dimaksudkan oleh Shozo bukanlah merujuk kepada Nissan GT-R R35, sebaliknya Nissan Skyline coupe yang turut dijual sebagai Infiniti G35 di pasaran Amerika.