Tempoh pertunjukkan udara ditambah pada Hari Kebangsaan ke-67

253

Orang ramai berpeluang menyaksikan pertunjukan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam tempoh lebih panjang pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, esok.

Ketua Terbang Lintas Hari Kebangsaan 2024, Lt Kol Ramlan Mohd Yusuf berkata pada sambutan kali ini, durasi penerbangan pertunjukkan ditambah antara 15 hingga 20 saat bagi jarak antara pesawat berbanding 10 saat tahun lalu.



“Semua pesawat akan lalu secara perlahan, berbeza dengan tahun lalu. Tahun ini, lebih airtime diberikan kepada pesawat supaya orang ramai boleh tengok dan menikmati pertunjukan udara lebih lama.

“Persembahan udara dengan elemen loud and agile (lantang dan tangkas) berdurasi lapan hingga 10 minit melibatkan 20 helikopter pelbagai agensi, 13 pesawat pejuang dan empat pesawat pengangkut milik TUDM,” katanya.

Antara pesawat pejuang yang ditonjolkan ialah Sukhoi Su-30MKM, F/A 18D Hornet dan BAE Hawk manakala pesawat pengangkut termasuklah A400M dan C130 Hercules, sama seperti persembahan tahun lalu.

Selain tempoh pertunjukan lebih panjang, kelainan persembahan tahun ini adalah dari segi gerakan manoeuvre dan jenis formasi yang dilakukan pesawat selain kejutan bunyi dan kemunculan pesawat melakukan aksi aerobatik secara tiba-tiba semasa pertunjukan udara.

Beliau berkata persembahan udara akan dimulakan dengan terbang lintas lima helikopter yang membawa Jalur Gemilang dan bendera ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu TUDM, Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerima tabik hormat daripada kawalan kehormatan utama. 

Selepas itu, katanya pesawat melibatkan TUDM, TDM, TLDM, PDRM, JBPM dan APMM akan membelah awan dari pelbagai arah.

“Selepas tamat persembahan udara, lima helikopter akan melintas dari arah depan ketika tabik hormat kepada Sultan Ibrahim sebelum Seri Paduka Baginda meninggalkan majlis,” katanya.

Ramlan berkata pertunjukkan udara tampil berbeza dengan kemunculan pesawat semasa perarakan kontinjen berbanding tahun lalu apabila pesawat hanya muncul pada akhir majlis selepas tamat perbarisan.

Beliau berkata keselamatan menjadi keutamaan dan penilaian terhadap cuaca akan dibuat dengan memenuhi kriteria cuaca minimum, contohnya keadaan kepulan awan supaya juruterbang mendapat visual yang jelas. 

Kredit Foto : FB TUDM

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here