Sebanyak 957 kejadian lubang benam dilaporkan di Korea Selatan antara tahun 2019 hingga 2023 dalam perkembangan yang mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa, lapor portal berita The Korean Times kelmarin.
Angka itu didedahkan Kementerian Tanah Korea Selatan dan disebarkan wakil rakyat Parti Demokratik, Hwang Hee.
Pendedahan itu dianggap penting selepas pemandu dan pihak berkuasa pengurusan jalan raya di Seoul semakin cemas apabila lubang benam ‘menelan’ sebuah kenderaan pada Khamis lalu.
Sebuah lagi lubang benam kemudian dikesan berdekatan lokasi kejadian sehari selepas itu.
Kejadian lubang benam dan tanah jerlus yang semakin kerap mencetuskan kebimbangan mengenai aspek keselamatan di jalan-jalan raya sekitar ibu kota Korea Selatan, Seoul. Orang ramai khuatir mereka boleh menjadi mangsa kecelakaan itu pada bila-bila masa sahaja.
Kelmarin, pihak berkuasa pengurusan jalan raya milik kerajaan di Seoul berkata, anggota-anggotanya menemui lubang benam di sebatang jalan di Yeonhui-dong, dalam daerah Seodaemun di barat Seoul sekitar pukul 8.40 pagi (waktu tempatan).
Bagaimanapun, lubang benam itu lebih kecil berbanding kejadian pada Khamis lalu.
Ia terbentuk pada jarak kira-kira 100 meter dari lubang benam selebar 6 meter, panjang 4 meter dan sedalam 2.5 meter yang ‘menelan’ sebuah kenderaan utiliti sukan(SUV), Khamis lepas.
Nahas mengakibatkan pemandu SUV yang merupakan seorang lelaki berusia 82 tahun, cedera parah termasuk tulang rusuknya patah.
Isterinya yang berusia 79 tahun mengalami serangan jantung tetapi diselamatkan dengan menggunakan kaedah resusitasi kardiopulmonari (CPR). Mangsa tidak sedarkan diri semasa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital tempatan.
Selepas lubang benam kedua terbentuk, polis bertindak menutup kawasan itu dan memulakan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.
Menurut polis dan pihak berkuasa berkaitan, masih tidak jelas sama ada dua kejadian itu saling berkaitan dan berpunca daripada masalah yang sama.
Mereka masih menyiasat pelbagai punca berpotensi untuk merungkai bencana tersebut.
Antaranya adalah saluran paip bawah tanah yang uzur, pembinaan untuk memasang saluran paip saliran air hujan kira-kira 170 meter dari lokasi kemalangan dan hakisan tanah akibat hujan lebat.